Monday, 23 December 2013

Wasiat Imam Syafie



✐ “Belajar dan Mengajarkan Ilmu”
“Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan
membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ianya menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang soleh.”

➫ Imam Syafie: Ilmu yang sebenar-benarnya adalah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah (SWT).

Tidak kira ilmu akhirat seperti tauhid ataupun ilmu dunia seperti sains dan matematik kerana kedua-dua jenis ilmu ini mengajar kita akan kewujudan dan kekuasaan Allah (SWT) yang tidak terbatas.

✐ “Memilih Makanan yang Halal”
“Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.”

➫ Imam Syafie: Dalam hadis yang dinyatakan oleh Tirmizi, nabi bersabda “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.”

“Memperbanyakkan Lima Perkara “
 Perbanyakkan menyebut Allah (SWT) daripada menyebut makhluk.
 Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
 Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.
 Jangan menyebut-yebut kebaikan diri dan keluarga.
 Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.”

➫ Imam Syafie: Nabi Muhammad pernah mengingatkan umatnya berkenaan menggunakan lima kesempatan sebelum tiba lima bencana iaitu muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.

“Sabar dengan Musibat, Syukur dengan Nikmat“
“Sabar menghadapi musibat adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Adapun bala dan musibat, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih saying Allah (SWT). Oleh itu, syukurilah ia kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.”

➫ Imam Syafie: Musibat dan nikmat adalah cubaan daripada Allah (SWT) supaya manusia sedar dan kembali mengingati kekuasaan Allah (SWT).

Manusia mempunyai sifat yang berbeza terutama dalam menghadapi susah, musibat, bala, malapetaka, kesenangan dan kenikmatan.

“Menziarahi Orang Sakit“
“Apabila salah seorang di antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, hendaklah ringankan langkah untuk menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dicintai Allah (SWT).”

➫ Imam Syafie: Barang siapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah (SWT), maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkahmu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.

“Hindari Perasaan Marah“
“Marah adalah salah satu di antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.” –

➫ Imam Syafie: Apabila marah diperturutkan, ia membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tersisa kecuali barah dan debu.

“Mengasihani Anak Yatim“
“Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah SAW juga tergolong sebagai anak yatim dan baginda akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak yatim di akhirat.

➫ Imam Syafie: Membiarkan anak yatim bererti kita mengkhianati agama dan menghina mereka. Ini bererti kita turut membenci Nabi Muhammad yang juga anak yatim piatu. Bimbinglah mereka ke jalan yang diredai Allah (SWT) dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan.

✐ Berbakti kepada Ibu Bapa“
“Berbuat baik dan tunjukkan baktimu kepada ibu bapamu tanpa mengenal letih dan lelah sebagaimana mereka telah berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ianya akan menambah keberkatan pada umurmu, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosamu.”

➫ Imam Syafie: Derhaka kepada ibu bapa termasuk dalam empat dosa-dosa besar. Keadaan ini jelas berdasarkan sabda nabi yang dinyatakan oleh Bukhari,
“Sebesar-besar (daripada) dosa besar ialah menyekutukan Allah (SWT), membunuh manusia, derhaka kepada dua ibu bapa dan menjadi saksi palsu.”

“Amal Soleh sebagai Perisai“
“Berbuatlah sebanyak-banyaknya amal soleh kerana ia merupakan pendinding dan perisai orang Mukmin dan pelindung daripada serangan iblis.”

➫ Imam Syafie: Semua amalan itu bukan untuk Allah (SWT), tetapi untuk keuntungan pengamalnya sendiri. Allah (SWT) tidak memerlukan kita dan amal soleh kita sedikit pun. Sebaliknya, kitalah yang memerlukannya.

“Takwa Membuahkan Insan Berjaya dan Cemerlang“
“Takwa merupakan pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ianya ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berkat, ianya juga memberi kejayaan dan kemenangan.”

➫ Imam Syafie: Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dalam hadis yang dinyatakan oleh Tirmizi, “Bertakwalah kamu di mana saja berada, iringilah setiap perbuatan dosa dengan amalan kebaikan yang akan memadamkan dosa itu dan pergaulilah manusia dengan akhlak terpuji.”

“Bentengi Iman dengan Lima Kekuatan“
“Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, perlulah dibajai keimanan dengan 5 perkara iaitu yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah beramal, bertatasusila ataupun berdisiplin di dalam mengerjakan ibadah.”

➫ Imam Syafie: Iman itu selepas diusahakan mencari dan menyuburkannya, wajib pula mengawal dan membentenginya daripada serangan musuh-musuh yang akan merosakkan iman. Tanpa pagar ataupun benteng yang kukuh, pasti iman terancam oleh musuhnya iaitu nafsu dan syaitan.

“Ilmu Menenangi Hati“
“Ingat dan zikir kepada Allah (SWT) sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.”

➫ Imam Syafie: Ketenteraman hati dan ketenangan hidup adalah kuasa maha ajaib yang diperlukan dalam hidup manusia. Menjadi hukum serta prinsip alam, orang itu akan berasa aman dan tenang apabila mengetahui dan merasakan di sana ada ‘kuasa’ yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam.

“Khusyuk Zahir dan Batin“
“Kyusuk secara zahir adalah kyusuknya orang awam. Kyusuk secara batin adalah kyusuknya orang pilihan di sisi Allah (SWT).”

➫ Imam Syafie: Kyusuk berlaku kerana hati ikut bermunajat, berzikir, sentiasa berdoa kepada Allah (SWT) serta sentiasa ingat Allah (SWT) melihat gerak-geri hambaNya.

“Awas! Kubur Menunggu Kita“
“Kubur adalah sebuah perhentian sementara untuk membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-Haq yang tidak berbelah bagi.” –

➫ Imam Syafie: Di dalam kubur, liang yang sangat sempit, tidak ada perbezaan antara pelayan dan majikan, kaya dan miskin. Semuanya sama. Nikmat kemewahan dan kelazatan dunia pasti berakhir dengan kematian.

“Mematahkan Serangan Syaitan“
“Kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada Allah (SWT). Sekurang-kurangnya, dengan mengucapkan A’uzu billahi min al-syaithan il-rajim. Jika serangan syaitan dating juga bertalu-talu dengan hebat, kita mestilah bersabar dan menyedari Allah (SWT) Taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah, perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.” –

➫ Imam Syafie: Syaitan sentiasa berdendam dengan manusia. Setiap saat memerangi manusia dengan membisikkan hasutan, godaan dan tipu daya.
Manusia yang mengerjakan ibadat kepada Allah (SWT) adalah orang yang paling dimusuhi.

“Sebesar-besar Keaiban“
“Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah engkau mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.” –

➫ Imam Syafie: Nabi Muhammad SAW bersabda,
“Sebesar-besar keburukan apabila engkau melihat keburukan dan kekurangan yang ada pada diri orang lain sedangkan keburukan dan kekurangan yang engkau cemuh dan cela ada di dalam diri engkau sendiri.”

“Membetulkan Hati“
“Hati adalah raja di dalam diri. Oleh itu lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-Haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.” –

➫ Imam Syafie: Anggota lahir hanya rakyat dalam kerajaan diri yang patuh pada perintah raja. Apabila hati jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Sebaliknya apabila hati baik, baiklah seluruh anggota badan.

“Istighfar Menggoncangkan Kerajaan Iblis“
“Ketahuilah bahawa istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.” –

➫ Imam Syafie: Istighfar dapat melembutkan fikiran dan jiwa individu. Ia menghindarkan individu draipada terlanjur melakukan kesalahan, menyalahkan orang lain dan menyebut perkataan dan ucapan yang tidak terpuji. Sebaliknya, selalu menyebut nama-nama Allah (SWT) dan terus memohon keampunan Allah (SWT).

“Indahkan Dunia dengan Maaf“
“Ketahuilah bahawa sebesar-besar kesenangan di dunia dan di akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya, nescaya Allah (SWT) akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.” –

➫ Imam Syafie: Sifat suka memaafkan adalah perbuatan terpuji. Ia menzahirkan kebersihan hati yang suci murni. Orang yang suka memaafkan orang lain adalah hasil dorongan keredaan hatinya kepada Allah (SWT).

“Takafur sebelum Tidur“
“Takafurlah sebelum tidur untuk menghisab diri di atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan tentang dosa-dosanya pada siang hari.”

➫ Imam Syafie: Imbas kembali setiap gerak langkah sepanjang siang tadi.
Bandingkan amalan semalam dengan amalan hari ini. Jika amalan hari ini semakin baik, itu tandanya sudah ada peningkatan takwa di dalam diri. Tidak kira sama ada amalan itu berkaitan dengan urusan hablumminallah iaitu hubungan dengan Allah (SWT) ataupun hablumminannas iaitu hubungan dengan manusia.

“Kata-kata Hikmat Imam Syafie“
“Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ianya menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang soleh.”

➫ Imam Syafie:
Insan terbahagi kepada tida iaitu:
 Mereka yang mengenal Allah (SWT).
 Mereka yang mencari kebenaran.
 Mereka yang tidak berpengetahuan dan tidak mencari kebenaran.

“Tunaikan Sepuluh Hak“
“Barang siapa yang ingin meninggalkan dunia dengan selamat,
hendaklah dia mengamalkan sepuluh perkara berikut:
 Hak diri iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
 Hak malaikat maut
 Hak kubur
 Hak Munkar Nakir
 Hak mizan
 Hak sirat
 Hak Malik
 Hak Ridhwan
 Hak Rasulullah
 Hak kepada Allah (SWT)…”

➫ Imam Syafie: Hak kepada Allah (SWT) iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci maksiat.

“Imam Syafie dengan Pendebat“
“Engkau seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan engkau juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.” –

➫ Imam Syafie: Mengapakah iblis diciptakan daripada api dan kemudian dia diseksa pula dengan api?

“Sepuluh Keutamaan Menghubungkan Ukhuwah“
“Barang siapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, maka ia akan memperoleh sepuluh kutamaan…”

➫ Imam Syafie: Orang yang menghubungkan ukhuwah amat disukai Allah (SWT) serta penduduk-penduduk langit. Para malaikat juga gembira.

“Meraih Syurga Impian“
“Allah (SWT) menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah (SWT)…” –

➫ Imam Syafie: Di depan kita terbentang dua jalan. Terpulang kepada kita jalan mana yang mahu diikuti. Tepuk dada, Tanya iman. Bukan tanya selera yang memang suka kepada nafsu.

“Meraih Pertolongan Allah (SWT) “
“Allah (SWT) menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan mendapat pertolongan Allah (SWT) seperti dalam firmanNya dalam surah ar-Rum ayat 47 yang bermaksud,

‘Dan adalah menjadi hak (tanggungjawab) Kami untuk menolong orang-orang yang beriman’.” –

➫ Imam Syafie: Allah (SWT) juga berfirman dalam surah Ali Imran ayat 160 yang bermaksud,

“Jika Allah (SWT) menolong kamu, maka tiadalah yang dapat mengalahkan kamu, jika Allah (SWT) membiarkan kamu (tidak memberikan pertolongan) maka siapakah yang dapat menolong kamu selain Allah (SWT).

“Memohon Pembelaan Allah (SWT) “
“Allah (SWT) menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan mendapat pembelaan daripada Allah (SWT) sebagaimana firmanNya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud,

‘Sesungguhnya Allah (SWT) membela orang-orang yang beriman’.” –

➫ Imam Syafie: Iman itu sesudah diusahakan mencari dan menyuburkannya, wajib pula mengawal dan membentenginya daripada serangan musuh-musuh yang dapat merosakkan iman. Tanpa pagar ataupun benteng yang kukuh, pasti iman terancam oleh musuhnya iaitu nafsu dan syaitan.

“Menjadi Wali Allah (SWT) “
“Allah (SWT) menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa bahawa Allah (SWT) akan menaiktarafkan darjat mereka sehingga ke taraf wali-wali Allah (SWT) selagi memenuhi syarat-syaratNya seperti dalam firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud, ‘Allahlah penolong (wali) bagi orang-orang beriman’.” –

➫ Imam Syafie: “Sesungguhnya wali-wali Allah (SWT) itu adalah mereka yang tiada kekhuatiran dan tiada mereka bersedih hati iaitu orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah (SWT).”

“Mencari Hidayah Allah (SWT) “
“Allah (SWT) s.w.t. menjanjikan kepada orang-orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana firman Allah (SWT) dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah (SWT) adalah pemberi petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus’.”

➫ Imam Syafie:
Lima perkara bagi mendapat hidayah Allah:
 Perbanyakkan menyebut Allah (SWT).
 Perbanyakkan menyebut akhirat.
 Perbanyakkan menyebut dan mengingati kematian.
 Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
 Jangan sebut-sebut keaiban orang.

“Rezeki yang Baik dan Keberkatan“
“Allah (SWT) s.w.t. menjanjikan kepada orang yang beriman bahawa mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah (SWT) s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam surah al-A’raf ayat 96 yang bermaksud,

“Jikalau sekiranya penduduk kota beriman dan bertakwa pasti Kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Kami, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka’.”

➫ Imam Syafie: Quran menyebut, segala musibat yang menimpa adalah akibat daripada tingkah dan olahan manusia sendiri. Ada masanya musibat itu tidak Cuma menimpa orang yang salah tingkah (zalim) tetapi meliputi semua orang termasuk orang yang tidak bersalah.

Di petik dari buku berjudul 30 Wasiat Imam Syafie oleh Khairul Ghazali, 2006

Monday, 4 November 2013

Hjrah Menuju Jannah

(Kalimah hijrah, seperti juga lain-lain kalimah yang penting dalam Islam, kerap disalah tafsirkan. Mendengar pelbagai bentuk dan nada perbualan antara juruhebah radio dengan pendengarnya semasa memandu pagi tadi (topiknya: Hijrah) menggerak rasa hati untuk menulis sesuatu tentang hijrah yang suci ini.
Sedih, apabila hijrah dikaitkan dengan perkara-perkara “kecil” yang begitu pinggiran sifatnya. Namun, saya berlapang dada… hakikatnya itulah nasib Islam, agama yang paling banyak disalah tafsirkan bukan hanya oleh bukan Islam tetapi oleh orang Islam sendiri.  Dan saya juga pernah tersasar memahaminya.
Justeru, saya rasa terpanggil untuk berkongsi mengenai hijrah. Jika salah, mohon diperbetulkan. Jika benar, alhamdulillah mohon difahami, dihayati dan sama-sama diperjuangkan.)
ARMADA HIJRAH
Hijrah adalah kalimah yang sinonim dengan iman dan jihad. Allah berfirman;
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar.” (At-Taubah:20-22)
Ketiga-tiganya tidak boleh dipisahkan sama sekali. Tegasnya, hijrah itu dilaksanakan atas dorongan iman dan berjihad di jalan Allah. Dan ketiga-tiganya menuntut pengorbanan yang besar dari segi harta (masa dan tenaga) serta jiwa. Tidak ada hijrah tanpa pengorbanan. Dan pengorbanan itu bukan untuk kepentingan diri dan orang lain, tetapi semata-mata untuk mendapat rahmat dan keredaan Allah.
Ironinya, kita sering mendengar ungkapan seperti:
“Kita mesti hijrah menuju kejayaan.”
“Bangunkan ekonomi kita dengan semangat hijrah.”
Ya, benar kita perlukan kecemerlangan dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain, namun usaha itu sama sekali tidak boleh disifatkan sebagai hijrah sekiranya faktor iman dan Islam tidak dijadikan dorongan, penentu, pemantau dan panduan dalam mencapainya. Tanpa iman dan Islam menjadi niat dan jalannya maka apakah bezanya pencapaian kita dengan individu, masyarakat dan negara-negara bukan Islam? Mereka menjadi kaya, maju dan kuat tanpa menjadikan akidah, syariat dan akhlak sebagai landasan.
Hijrah tidak boleh dikaitkan berpindah daripada suasana miskin kepada kaya semata-mata. Ini kerana seorang sahabat Rasulullah SAW – Suhaib Ar Rumi RA bertukar daripada kaya kepada miskin akibat berhijrah. Ibnu Hisyam meriwayatkan bahwa ketika Suhaib (RA) berusaha hijrah, kafir Quraisy berkata kepadanya, “Ketika dulu kamu datang kemari, kamu sangat miskin dan tak dipandang sebelah mata. Kini kamu kaya raya. Kami tidak akan relakan kamu pergi membawa kekayaanmu.” Suhaib (RA) menjawab, “Jika kuberikan semua kekayaanku kepada kalian, akankah kalian relakan aku pergi?”. Kafir Quraisy menyetujuinya.
Suhaib (RA) menyerahkan semua hartanya kepada mereka dan berhijrahlah ke Madinah. Mengetahui hal ini Rasulullah (SAW) berkata, “Suhaib telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya. Sungguh, Suhaib benar-benar telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya.” Bukan beliau sahaja yang berbuat demikian tetapi itulah jua nasib yang menimpa hartawan-hartawan Islam seperti Abu Bakar Assiddiq, Uthman ibn Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain yang kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang apabila seluruh aset dan premis perniagaan mereka terpaksa ditinggalkan di Makkah apabila mereka berhijrah ke Madinah.
Hijrah juga tidak boleh dikaitkan dengan perjuangan meninggikan status sosial. Ini kerana Mus’ab bin Umair RA – seorang lelaki bangsawan yang ternama, bertukar menjadi mujahid yang akhirnya mati syahid dalam keadaan tidak cukup kain kafan untuk menutup jenazahnya. Lihatlah betapa ramainya orang-orang besar Quraisy yang memeluk Islam rela membuang status sosialnya apabila mereka rela makan minum, tidur baring dan hidup bersaudara dengan golongan bawahan yang dulunya adalah kaum pendatang dan hamba abdi.
Hijrah memang bererti perpindahan, tetapi bukan semua perpindahan boleh disifatkan sebagai hijrah. Hanya perpindahan atau perubahan yang diniatkan kerana iman dan Islam sahaja layak dinamakan hijrah. Ini diterangkan oleh hadis berikut:
“Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : ” Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :’ Hanya sanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanya sanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barang siapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehnya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah keranany.”’
TITIK PERALIHAN MENUJU KEMENANGAN
Hijrah walaupun dilihat pada mata kasar seolah-olah berundur, tetapi sebenarnya tidak. Ia adalah langkah berundur untuk melonjak lebih jauh. Pelaksanaan Islam selepas hijrah menjadi lebih syumul – daripada soal menegakkan akidah, syariat serta akhlak di peringkat diri dan keluarga kepada pelaksanaan sistem pemerintahan, pendidikan, ekonomi, pertanian dan lain-lain lagi di peringkat masyarakat dan negara.
Justeru, hijrah adalah syarat untuk mendapat kemenangan. Tanpa hijrah umat Islam akan kalah. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.”
Islam telah diperjuangkan di peringkat yang lebih global dan holistik hanya selepas Rasulullah SAW berhijrah. Dan sejak itu jugalah posisi Islam yang mulanya berada di bawah (ditindas) mula beralih ke atas (memayungi dan menaungi). Atas dasar itulah, Sayidina Umar RA memilih hijrah sebagai detik bermulanya kalendar Islam. Ia telah dipilih sebagai mercu tanda bermulanya kemenangan Islam. Agar dengan itu setiap kali menyambut tahun baru Islam umat Islam akan mengimbau detik kemenangan itu sebagai aspirasi mencipta kemenangan baru!
Hijrah digerakkan oleh pemikiran strategik, rohani yang bersih, persiapan fizikal dan material yang ampuh, emosi yang tenteram dengan bantuan Allah menerusi tentera-tentera-Nya yang di langit dan di bumi. Ia bukan sahaja perjalanan merentasi Makkah dan Madinah tetapi hakikatnya merentasi sejarah. Ia adalah satu kebangkitan yang merentasi masa dan ruang (time and space) generasi semasa dan sesudahnya.
DETIK YANG MENENTUKAN



Mari sejenak kita telusuri detik yang menentukan dalam sejarah Islam itu menerusi sajak ini:
HIJRAH KEKASIH
Kesetian Abu Bakar teman sepanjang jalan
Keberanian Ali menggamit maut di hujung selimut
Ketabahan Asma’ serikandi perancang bekal musafir
Setia, berani dan tabah terserlah
Di hijrah Rasulullah… menuju Allah
ke kota Madinah
Di gua Thur jejaring lelabah mengukir keliru
Merpatipun bersarang rendah menghibur gundah
Bisa ular di kaki Abu Bakar menjadi penawar
Angin malam dan ribut pasirpun reda seketika
Tentera Tuhan… akur setia
Suara alam…. sunyi seketika
pada dua kekasih-Nya di dalam gua
Di Madinah suara rindu syahdu mendayu
Hari syukur, tafakur atas nikmat dan rahmat
Marhaban… marhaban… marhaban
meriah kedengaran
Al Qaswa dibiarkan memilih persinggahan
di depan rumah Abu Ayub akhirnya…
bertamulah keberkatan
Dibena masjid telapak semadi ketulusan hati
dengan Ilahi…
sesama insani…
Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan
Aus dan Khazraj diserasikan
Perisai ummah benteng kekuatan
Itulah keindahan sebuah hijrah
Yang bertintakan kesusahan…
berdakwatkan ketabahan
Itulah hijrah kekasih Allah
Berasaskan iman bertunjangkan ukhwah
Menara Islam terjulang…
di Madinah Munawwarah!
Di tahap pertama perjuangannya (di Makkah) Baginda terlebih dahulu membina kekuatan iman dan takwa dalam diri pengikutnya. Di peringkat ini fokus Baginda hanyalah pada pembinaan kekuatan dalaman. Ketika ini walaupun ada serangan dalam bentuk fizikal hingga ke peringkat membunuh, Rasulullah tidak melawan walaupun ada sahabatnya yang terkorban.
Untuk meredakan penyeksaan yang ditanggung oleh sahabat-sahabatnya, Baginda mengarahkan beberapa orang sahabatnya hijrah ke Habsyah dan beberapa tahun kemudian Baginda sendiri hijrah ke Madinah. Pada peringkat awal di kota Madinah baginda memulakan beberapa langkah penting dan besar di tahap kedua.
Untuk pengukuhan ilmu, iman dan amal secara berterusan di binanya masjid – pusat pembinaan kekuatan rohaniah. Untuk kekuatan ukhwah, dipersaudarakannya golongan Muhajirin dan Ansar. Untuk menyatukan seluruh penduduk Madinah (yang Islam dan bukan Islam) dimetrainya Piagam Madinah – yang menjamin keamanan dan sistem pertahanan bersama. Kekuatan ekonomi mula dibina dan sistem hidup yang memerlukan pelbagai kepakaran mula diterokai – pasar, kebun, sistem perparitan dan kebersihan kota mula dilaksanakan.
Tiga atau empat tahun kemudian, apabila kekuatan Islam mula terserlah dan musuh terus mencabar, barulah Rasululah mengangkat senjata dan berlakulah beberapa siri peperangan yang bersifat defensif. Mula-mula Badar, kemudian Uhud dan akhirnya Khandak. Keberanian dan kepakaran dalam bidang ketenteraan tidak menggangu kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada perdamaian. Lalu berlakulah perjanjian Hudaibiyah.
Rasululah s.a.w. berani berperang dan berani berdamai dan dalam kedua-dua keadaan tersulam satu kebijaksanaan, kejujuran dan kekuatan yang sukar ditandingi. Dan akhirnya, dengan hati yang bertakwa, pemikiran yang strategi dan persediaan fizikal yang mantap, Makkah berjaya dibebaskan dan Islam tersebar di seluruh Jaziratul Arab.
Itulah langkah-langkah yang produktif dan konstruktif sebaik berlakunya peristiwa hijrah. Hijrah merupakan satu tahap berlakunya “turing point” (titik peralihan) dan “turning over” (titik perubahan) dalam perjuangan Islam. Hijrah yang telah berlaku hampir 1430 tahun yang lalu itu hakikatnya terus signifikan dan relevan untuk dijadikan asas dan teras dalam pemikiran, pertimbangan, keputusan dan tindakan umat Islam masa kini.
BERSAMA HIJRAH
Maal Hijrah ertinya “bersama hijrah.” Bersama hijrah bukan bermusim dan terhad sifatnya. Sambutan yang dibuat saban tahun tidak akan bermakna sekiranya ibrah dan hikmah di sebalik hijrah tidak terserlah. Ia akan terus menjadi ritual yang tidak membangunkan spiritual umat – sama seperti sambutan Maulid Nabi, Nisfu Sa’aban, Nuzul Quran, Lailatul Qadar dan lain-lain lagi. Bersama hijrah bermaksud mempelajari, memahami, menghayati dan mengamalkan dan memperjuangkan iman dan Islam berdasarkan “resipi” yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
Hijrah yang menjadi tuntutan secara berterusan ialah berpindah atau berubah daripada buruk (jahat) kepada yang baik. Dan ukuran baik atau buruk itu dibuat berdasarkan perspektif iman dan Islam. Bersama hijrah dalam erti kata yang lebih luas ialah sentiasa berubah kepada Islam dan iman yang lebih baik sama ada untuk diri, keluarga, organisasi, masyarakat mahupun negara kita.
Bersama hijrah juga bermaksud sentiasa melakukan perubahan ke arah memperkukuhkan Islam secara istiqamah dan total. Hijrah diri, ialah sejauh mana diri diubah ke arah yang lebih baik dan mantap dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Hijrah diri itu perlu diteruskan ke peringkat keluarga, organisasi dan masyarakat.
Manakala hijrah negara pula merangkumi hijrah sistem ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain sistem kehidupan ialah sejauh mana semuanya mampu memperkukuhkan iman dan Islam kita untuk memberi keamanan dan kemakmuran kepada orang Islam dan bukan Islam persis yang dibuat oleh Rasulullah SAW di negara Islam Madinah dahulu.
Untuk melakukan hijrah yang menyeluruh itu, semua pihak mesti berperanan. Kenali watak dan peranan wira-wira hijrah yang mampu dan sesuai untuk diteladani. Pilihlah, sama ada untuk meneladani:
• Kesetiaan dan kemurahan hati Sayidina Abu Bakar (menyediakan keperluan logistik dan teman karib kepada Rasulullah SAW).
• Keberanian dan amanahnya Sayidina Ali (berselimut di tempat tidur Rasulullah SAW dan memulangkan kembali harta orang ;lain yang diamanahkan kepada Rasulullah SAW).
• Kecekapan Asma binti Abu Bakar (menyediakan makanan).
• Sifat murah hati Ummu Maabad (rela kambingnya diperah susu untuk memberi minum dalam perjalanan Rasulullah SAW dan Sayidina Abu Bakar).
• Kesal dan akurnya Suraqah (yang mulanya menentang tetapi akhirnya tunduk dan yakin kepada kemenangan Islam).
ARMADA HIJRAH
Islam kini menagih hijrah justeru nasibnya yang dagang seperti mana ia bermula. Apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW telah benar-benar berlaku. Rasulullah SAW bersabda:
“Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing”. H.R. Muslim
Jadilah “orang beruntung” yakni orang yang bersiap sedia untuk melakukan hijrah satu langkah “jump start” yang sangat diperlukan masa kini. Perkukuhkanlah iman dan lakukanlah hijrah setiap masa, di mana sahaja dan di posisi mana pun kita berada. Sentiasa ada set minda (“mind set”) hijrah di dalam diri kita yang menyebabkan apa sahaja yang kita fikir, rasa, buat dan laksanakan adalah ke arah Islam dan iman yang lebih baik.
Setiap diri berfikir untuk menghijrahkan hati, akal, nafsu, emosi dan fizikalnya ke arah iman dan Islam. Ibu bapa berfikir bagaimana menghijrahkan keluarganya. Guru-guru bertanggung jawab menghijrahkan sekolah. Imam hijrah dengan anak-anak kariahnya. Pemimpin masyarakat menghijrahkan kampung, mukim, bandar dan daerah. Wakil rakyat di kawasan parlimen masing-masing. Begitu juga dengan ADUN. Tokoh-tokoh korporat, menteri-menteri pula berperanan memimpin armada hijrah yang lebih besar dan luas lagi…


Inilah pra syarat untuk mencapai kejayaan. Bantuan Allah akan sentiasa bersama kita jika kita bersama hijrah. Maha Hebat Allah yang menjadi sesarang lelabah dan merpati yang zahirnya begitu lemah untuk melindungi dua orang kekasihnya di gua Thur… Namun di situlah kehebatan kuasa Allah yang pernah menjadikan air untuk menewaskan Firaun dan bala tenteranya, nyamuk untuk membunuh Namrud, burung dan batu kecil ketika memusnahkan tentera bergajah Abrahah.
Dan untuk kita umat Islam akhir zaman, pasti ada bantuan yang sama, dengan syarat kita berhijrah dengan tenaga, harta, masa dan jiwa. Hijrah atau kalah, yang mana satu pilihan kita?
Sumber : Genta Rasa via Ustaz Pahrol Mohd Juoi