Thursday, 2 October 2014

Hedonisme Hakis Minat Membaca - PELUK ISLAM DENGAN ILMU

Ilmu itu cahaya daripada Allah, memancar keluar melahir amal memancar ke dalam menzahir iman. Hebatnya ilmu, apabila dekat dengan ilmu umpama rapat kepada cahaya. Gunanya untuk membezakan yang hak dengan yang batil, mengklasifikasikan baik dengan yang buruk dalam melaksanakan kehidupan. Itu anologi ilmu yang dititipkan Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran pada pukul 10.15 pagi Rabu lalu.

Syukur atas nikmat Islam yang kita anuti. Terkadang kita leka, sehingga agama yang kita peluk ini tidak kita dakap dengan erat, rapat dan kejap. Kita renggang dengan Islam, sedangkan Islam itu pasangan hidup manusia. Jika kita memisahkan islam dari hidup dan kehidupan kita, bermakna kita memilih untuk menjadi huru-hara dan kacau bilau. 

Sesungguhnya Islam itu tenang dan memberi kejayaan dalam hidup. Peluk erat Islam kerana orang bukan Islam berjaya dalam perjuangan mereka bukan ketika mereka berjaya memurtadkan kita, tetapi mereka sudah merasa cukup berjaya hanya sekadar dengan menjauhkan kita daripada Islam. Jadi peluklah Islam, dakaplah islam seeratnya tanda kasih sayang pada agama.

Pelukan atau dakapan adalah aktiviti yang  akan menyebabkan kelenjar di otak mengeluarkan hormon serotonin dan dopamine yang memberikan rasa tenang dan tenteram. Bila kita memeluk seseorang bermakna kita kasih dan sayang kepada individu itu. Lebih dari itu, apabila kita memeluk seseorang kita ingin memberi dan mendapatkan perlindungan. Secara tidak langsung kasih, sayang dan perlindungan itu membawa kepada rasa tenang dan tenteram.

Hari ini secara rasmi adalah hari pertama sebagai PENERBIT RANCANGAN KANAN IKIMfm
Moga menjadi asbab kebaikan buat diri, keluarga dan umat. Moga
Allah jadikan diri ini hamba yang mendirikan solat dan baca,baca dan membaca juga buat anak keturunanku..ameen.


Ketika peristiwa turunnya wahyu pertama, Rasulullah SAW didatangi malaikat Jibril yang berkata kepada baginda,“Bacalah!” Jawab baginda SAW “Aku tidak pandai membaca.”  Kemudian malaikat itu datang memeluk Rasullullah SAW hingga membuat baginda penat, kemudian melepaskan Rasulullah sambil berkata,“Bacalah!” Baginda menjawab,“Aku tidak pandai membaca.” Lalu Malaikat Jibril memeluknya untuk kesekian kalinya dengan begitu erat dan melepaskannya sambil berkata, “Bacalah.” Nabi Allah terus membuat pengakuan, “Aku tidak pandai membaca.” Lalu ia memeluknya lagi seraya berkata mafhumnya,“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”(Surah Al-Alaq, Ayat 1-5).
 
Ahli tafsir menyifatkan Jibril a.s memeluk Rasulullah SAW kerana rindunya, setelah lebih 600 tahun malaikat Jibril tidak turun menyampaikan wahyu kerana tempoh itu adalah jarak antara ketiadaan nabi Allah Isa a.s dengan Nabi Muhammad SAW. Ia ditambah lagi dengan kerasulan Rasulullah SAW yang telah diwar-warkan wahemah dari zaman Nabi Allah Adam a.s dan sangat dinantikan oleh Jibril a.s. Sebab itu apabila bertemu untuk menyampaikan wahyu yang pertama, Jibril mendakap erat Rasulullah SAW atas dorongan rasa rindu terhadap baginda.

Timbul persoalan, ketika meminta Rasulullah SAW membaca tidakkah Jibril mengetahui Rasulullah SAW seorang yang tidak tahu membaca? Ada tafsiran daripada para ulama yang menyatakan bahawa perintah membaca itu bukan bersifat takwifi tetapi takwini. Takwifi itu adalah perintah suruh, manakala takwini pula adalah untuk mewujudkan kemampuan Rasulullah SAW menbaca. Dengan kun fa yakun Rasulullah SAW terus mampu membaca apabila disuruh oleh Jibril.

Begitu pentingnya membaca, apabila lima ayat pertama yang dipilih oleh Allah SWT untuk berkomunikasi dengan umat Nabi Muhammad  SAW ini, perkataan iqra’ diulang sebanyak dua kali. Ia menunjukkan penegasan peri pentingnya kita membaca. Berasal dari kata sendi qaraa iaitu himpunan. Membaca bukan sekadar membaca huruf dan perkataan semata, tetapi ia adalah himpunan beberapa tindakan ataupun tindakbalas. Perlu kepada penghayatan, pemahaman dan juga keyakinan dalam kita membaca.

Para orentalis, mereka membaca al-Quran tetapi mereka tidak menghayati dan meyakininya. Sama seperti pelajar-pelajar yang membaca hanya untuk menduduki peperiksaan, selepas peperiksaan ilmu itu dilupakan. Itu bukan definisi membaca. Membaca adalah apabila kita menelaah, kemudian kita mengambil tadabbur, ibrah dan iktibar serta diikuti dengan renungan yang lebih mendalam dari sekadar memahami. Itulah yang dikatakan sebagai semangat iqra’.

Ustaz Pahrol juga berkongsi dalam kesinambungan topik membaca ini adalah persoalan tentang halangan budaya Iqra’. Budaya yang merosakkan budaya membaca ini adalah budaya hidonisme iaitu satu cara hdup yang berseronok-seronok, bersuka-suka, tidak serius serta tidak fokus. Budaya inilah yang sedang dipelopori dan dibiak suburkan menjadi budaya hidup pada masyarakat umat Islam. Masyarakat Islam  akan leka dengan lagu, cerita, lawak jenaka atau sukan yang melalaikan dan membawa kepada yang haram. Islam tidak menentang hiburan, ia umpama garam dalam masakan. Sedikit mengenakkan berlebih memudaratkan rasa dan kesihatan. Dalam diam budaya hidonisme akan menghakis sifat suka membaca yang akan memisahkan manusia dengan sifat inginkan kebaikan, hilang manusiayang serius dan individu yang fokus dalam hidup. Lebih merisaukan apabila wujudnya tiga unsur hidonisme yang secara diam menyelusup masuk dalam agenda budaya membaca iaitu unsur seks, gosip dan unsur misteri. Bahan bacaan seumpama ini secara tidak langsung akan fikiran jadi mundur, jiwa tidak bangun terutama bagi pembaca kategori remaja.

Budaya iqra’ bersaing dengan budaya hidonisme yang bersifat komersial. Menghanyut dan melalaikan. Lebih parah apabila tiada lagi idola dari kalangan ilmuan yang dijadikan sandaran pemlihan bahan bacaan. Semua itu lebih membawa parah dalam usaha membangunakan umat iqra’ ini.

Ayuh kita melihat secara jujur situasi masyarakat kita hari ini. Bermula nilaian dari diri kita diikuti keluarga seterusnya di tempat kerja. Budaya manakah yang lebih dominen? Adakah budaya membaca atau budaya hidonisme? Di dalam keluarga, adakah anak-anak kita terdedah dengan budaya membaca atau lebih banyak berhibur? Di hujungnya nanti kita akan dapat jawapan sama ada kita berada dalam zon budaya membaca atau sebaliknya. Semoga kita jujur dengan hati kita sendiri. Di samping Allah tahu siapa kita, kita turut tahu dan sedar siapa kita. Hati kita sememangnya dicipta untuk tidak tahu erti berbohong, jadi lihatlah dengan mata hati dimana letak diri dan masyarakat kita. Jika budaya membaca itu dominen inshaAllah negara kita akan maju dari sudut meterial, pembangunan fizikal dan rohaniahnya.


Tepuk dada tanya hati, jikalau sebaliknya yang terpapar bermakna kita dalam bahaya jika kita tidak berubah. Semoga kita semua dapat benar-benar serius melihat perkara ini walaupun subjeknya ringkas iaitu bacalah tetapi “bacalah” adalah anak kunci kepada kebaikan dan kemajuan jika kita membukanya. Malang jika kita kehilangan anak kunci, kita akan terus terkurung dalam kegelapan, kejahilan dan kemunduran. Mungkin fizikal kita kelihatan maju, pembangunan tinggi tetapi akhlak dan budi kita menyapu bumi. Jauhkan diri dari menjadi haiwan berteknologi dalam belantara konkrit ini. Moga kita boleh menjadi hamba Allah yang baik dan khalifah yang memberi kebaikan InshaAllah.

CaHayati
Toledo, Spanyol
25 September 2014 (Siaran 01 Okt 2014)

Membudayakan Membaca dalam Kehidupan - BACALAH!

Suatu ketika, ada seorang lelaki mengadu kepada Imam Ahmad bin Hanbal tentang perasaannya yang sedih dan kesepian, lalu Imam Ahmad berkata kepada sahabatnya, “Ambil buku lalu baca!”. Itulah penangan iqra’ bagi hamba yang warak. Dengan membaca memberi tenang, menerusi baca membawa terang. Dan apabila melihat umat islam di zaman ini, mereka umpama orang yang kehilangan cahaya dan berada di dalam kegelapan seperti yang pernah ditempuh masyarakat jahiliah suatu ketika dahulu sebelum turunnya wahyu pertama yang memerintahkan Rasulullah SAW untuk ‘baca’.

Membaca, jika diamalkan dan menjadi kebiasaan sesuatu masyarakat akan melahirkan masyarakat berbudaya membaca. Budaya ini pula diumpamakan oleh Ustaz Pahrol Mod Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm minggu lalu hanyalah sebagai buah dari sebatang pohon.  Terdapat unsur yang lebih penting daripada buah iaitu akar pohon tersebut. Jika sakit akarnya, bubuhlah ubat agar buah yang terbit tidak buruk dimakan ulat.

Meneladani Rasulullah SAW berjaya membawa sinar kepada kaum jahiliah, bukan dengan merawat permukaan masalah tetapi menyuntik solusi pada punca masalah. Rasulullah wujudkan budaya baru untuk tangani budaya yang sudah lama dengan membudayakan iqra’ iaitu membaca.

Allah berfirman menerusi wahyu pertamaNya dalam Surah al-‘Alaq ayat 1-5 mafhumnya, 
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Inilah ayat pertama yang Allah turunkan buat kekasihNya. Dimulakan dengan iqra’ iaitu baca dan bukannya dengan solat, zikir, puasa, zakat mahupun perkara-perkara lain. Ini sudah cukup memberi pemahaman kepada kita betapa hebat dan pentingnya membaca itu.

Ayuh kita singkap satu persatu rahsia kejayaan Rasulullah SAW dalam memberi terang kepada gelapnya jahiliah sehingga menjadi umat yang sangat mencintai Allah SWT . Pernah dicatat oleh pakar-pakar bahawa satu anjakan paradigm yang hendak dilakukan terhadap sesuatu bangsa, hendaklah bangsa itu dipimpin oleh seorang pemimpin yang ada sifat ‘pembina budaya baru’. Rasulullah SAW telah mendahului prinsip itu, sebagai pemimpin yang terbaik yang mendapat didikan terus dari Allah SWT, Baginda telah membina formula baru dalam mengubah kaum jahiliah arab yang sangat jahil pada ketika itu. Menerusi sifir 
Tinggalan sejarah -
cetakan Surah An-Nur di atas
dinding bekas masjid di Toledo, Spanyol
(24 September 2014)
“Membaca adalah anak kunci kepada ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah imam amalan dan amalan adalah jalan untuk menuju taqwa” 
telah membawa Arab jahiliah ke satu dimensi baru dalam peradaban mereka.

Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah dalam semua aspek kehidupan termasuk pencapaian, akhlak dan kaedah dalam berjuang. Imam malik menegaskan, “Pembinaan umat yang kemudian hanya boleh dilakukan dengan kaedah pembaikan pada umat yang terdahulu (yang pertama).” Jika jahiliah pertama Rasulullah SAW tangani dengan iqra’ maka bagi jahiliah kedua iaitu umat ahkir zaman ini juga perlu kepada pendekatan yang sama dengan budaya iqra’ juga.

Nabi Allah telah menggunakan makanisme paling asas dalam mengubah budaya yang telah berakar umbi di zaman jahiliah iaitu dengan dakwah dan tarbiah. Menggabungkan konsep memberi kesedaran, ditambah kefahaman, diperkukuh dengan bimbingan dan disulam didikan mencetuskan evolusi baru dengan wujudnya budaya membaca di kalangan bangsa Arab. Ini bermakna islam hadir dengan membawa budaya membaca sebagai wadah pencipta perubahan kepada yang lebih baik. Sewajarnya kita umat akhir zaman ini mengambil ibrah dari revolusi Rasulullah menbina umat membaca.

Sesungguhnya Islam itu bermula dari buka mata hingga pejam semula hari-hari akan diisi dengan membaca. Bermula dengan solat, membaca al-Quran, membaca maksurat, berwirid, membaca papan tanda, membaca akbar dan seterusnya hingga ke petang dan malam akan terisi dengan aktiviti membaca. Di sinilah kita perlu benar-benar peka dengan apa bahan bacaan kita untuk kita memilih dan menyaring yang terbaik kerana diri kita bukan sekadar apa yang kita makan tetapi lebih dari itu kita dibentuk dengan apa yang kita baca.

Umat Islam itu sememangnya umat membaca. Tetapi persoalannya, mengapa umat Islam masih lemah walaupun umat Islam adalah umat membaca? Adakah mungkin sebagai umat Islam kita masih tidak mengamalkan dan menghayati Islam sebaiknya? Sebab itulah Ustaz Pahrol berpesan untuk kita meneliti beberapa aspek dalam menjadikan kita umat membaca yang berkesan. Pertama, kita perlu memastikan kualiti bahan bacaan. Kedua, perlu teliti dengan kaedah kita membaca dan yang terakhir cara kita mengatur kehidupan kita supaya bahan yang kita baca menimbulkan kefahaman, penghayatan dan penggerak untuk kita mengamalkan agama ini secantiknya.

OREN - Berita Harian dengan tema 'Oren'
untuk menghargai klien mereka
"Oren menyerikan lagi akhbar ini"
 by Tropicana
Ustaz Pahrol juga menegaskan kepada semua umat iqra’ untuk menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai bacaan utama supaya dapat menguatkan iman dan terhindar dari buta hati kerana ilmu itu adalah cahaya. Di samping itu, usah kesampingkan membaca ilmu yang berkaitan keperluan dunia supaya umat iqra’ ini tidak buta akal.

Perpustakaan Negara Malaysia pada 1996 yang merumuskan secara amnya rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku sepanjang tahun. Dan pada tahun ini jumlah purata tersebut meningkat namun masih jauh ketinggalan dengan Negara-negara lain antaranya Jepun dengan purata 40 naskah buku setahun, Eropah dengan purata 10 naskah setahun tetapi mendukacitakan apabila Arab menunjukkan purata hanya 20 helai buku setahun. Ini menunjukkan betapa jauhnya umat iqra’ ini dengan budaya membaca. Bagi kita, Negara Islam di rantau Asia Tenggara ini pula pada tahun 2005 kajian mendapati jumlah naskah buku masih tidah berubah dengan tahun 1996 iaitu 2 naskah buku setahun yang  melibatkan jenis pembacaan surat khabar sebanyak 77.4%, bahan majalah; 3%, buku; 3% dan bahan bacaan komik 1.6%. Dari kajian ini kita boleh melihat di mana dan siapakah kita yang mengaku sebagai umat iqra’ ini.

Semoga kita dapat menggembalikan kegemilangan kejayaan Rasulullah SAW mengubah puak jahiliah pertama 1400 tahun dahulu dengan menanamkan semula budaya membaca yang mampu mengubah umat pada zaman jahiliah alaf baru ini. Moga dapat diterapkan kembali formula membaca sebagai anak kunci kepada ilmu pengetahuan. Menerusi iqra’ akan menjadi anak kunci kepada solat, zakat, puasa, jihad dan laluan pembuka kepada segala ilmu Allah SWT yang lain. Bila mantap ilmu, maka ia akan menjadi imam dan amalan menjadi makmum yang mengikut dibelakangnya dan sentiasa mengiringi. Amalan-amalan ini jika dilazimi dan  istiqomah dengannya, inshAllah ia akan menjana taqwa. Bila terbit, tumbuh dan membesarnya taqwa maka di situlah kekuatan umat islam hari ini. Menjadi umat Islam yang bukan hanya pada nama tapi umat Islam pada amalnya yang kembali kepada prinsip asal iaitu IQRA’.

CaHayati
IKIMfm
Siaran : 24 September 2014


Malam pertama Kembara Muslim Cordoba 2014/1435H bersama Hjh Mazlina Ismail di Madrid, Spanyol