Suatu ketika, ada seorang lelaki mengadu kepada
Imam Ahmad bin Hanbal tentang perasaannya yang sedih dan kesepian, lalu Imam Ahmad
berkata kepada sahabatnya, “Ambil buku lalu baca!”. Itulah penangan iqra’ bagi
hamba yang warak. Dengan membaca memberi tenang, menerusi baca membawa terang.
Dan apabila melihat umat islam di zaman ini, mereka umpama orang yang
kehilangan cahaya dan berada di dalam kegelapan seperti yang pernah ditempuh
masyarakat jahiliah suatu ketika dahulu sebelum turunnya wahyu pertama yang
memerintahkan Rasulullah SAW untuk ‘baca’.
Membaca, jika diamalkan dan menjadi kebiasaan sesuatu
masyarakat akan melahirkan masyarakat berbudaya membaca. Budaya ini pula
diumpamakan oleh Ustaz Pahrol Mod Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm
minggu lalu hanyalah sebagai buah dari sebatang pohon. Terdapat unsur yang lebih penting daripada
buah iaitu akar pohon tersebut. Jika sakit akarnya, bubuhlah ubat agar buah
yang terbit tidak buruk dimakan ulat.
Meneladani Rasulullah SAW berjaya membawa sinar
kepada kaum jahiliah, bukan dengan merawat permukaan masalah tetapi menyuntik
solusi pada punca masalah. Rasulullah wujudkan budaya baru untuk tangani budaya
yang sudah lama dengan membudayakan iqra’
iaitu membaca.
Allah berfirman menerusi wahyu pertamaNya dalam
Surah al-‘Alaq ayat 1-5 mafhumnya,
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Inilah ayat pertama yang Allah turunkan buat kekasihNya. Dimulakan
dengan iqra’ iaitu baca dan bukannya dengan solat, zikir, puasa, zakat mahupun
perkara-perkara lain. Ini sudah cukup memberi pemahaman kepada kita betapa
hebat dan pentingnya membaca itu.
Ayuh kita singkap satu persatu
rahsia kejayaan Rasulullah SAW dalam memberi terang kepada gelapnya jahiliah sehingga
menjadi umat yang sangat mencintai Allah SWT . Pernah dicatat oleh pakar-pakar
bahawa satu anjakan paradigm yang hendak dilakukan terhadap sesuatu bangsa,
hendaklah bangsa itu dipimpin oleh seorang pemimpin yang ada sifat ‘pembina
budaya baru’. Rasulullah SAW telah mendahului prinsip itu, sebagai pemimpin
yang terbaik yang mendapat didikan terus dari Allah SWT, Baginda telah membina
formula baru dalam mengubah kaum jahiliah arab yang sangat jahil pada ketika
itu. Menerusi sifir
![]() |
Tinggalan sejarah - cetakan Surah An-Nur di atas dinding bekas masjid di Toledo, Spanyol (24 September 2014) |
“Membaca adalah anak kunci kepada ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah imam amalan dan amalan adalah jalan untuk menuju taqwa”
telah membawa Arab jahiliah ke satu dimensi baru dalam peradaban mereka.
Rasulullah SAW adalah qudwah
hasanah dalam semua aspek kehidupan termasuk pencapaian, akhlak dan kaedah
dalam berjuang. Imam malik menegaskan, “Pembinaan umat yang kemudian hanya
boleh dilakukan dengan kaedah pembaikan pada umat yang terdahulu (yang
pertama).” Jika jahiliah pertama Rasulullah SAW tangani dengan iqra’ maka bagi
jahiliah kedua iaitu umat ahkir zaman ini juga perlu kepada pendekatan yang
sama dengan budaya iqra’ juga.
Nabi Allah telah menggunakan
makanisme paling asas dalam mengubah budaya yang telah berakar umbi di zaman
jahiliah iaitu dengan dakwah dan tarbiah. Menggabungkan konsep memberi
kesedaran, ditambah kefahaman, diperkukuh dengan bimbingan dan disulam didikan mencetuskan
evolusi baru dengan wujudnya budaya membaca di kalangan bangsa Arab. Ini
bermakna islam hadir dengan membawa budaya membaca sebagai wadah pencipta
perubahan kepada yang lebih baik. Sewajarnya kita umat akhir zaman ini
mengambil ibrah dari revolusi Rasulullah menbina umat membaca.
Sesungguhnya Islam itu bermula
dari buka mata hingga pejam semula hari-hari akan diisi dengan membaca. Bermula
dengan solat, membaca al-Quran, membaca maksurat, berwirid, membaca papan
tanda, membaca akbar dan seterusnya hingga ke petang dan malam akan terisi
dengan aktiviti membaca. Di sinilah kita perlu benar-benar peka dengan apa
bahan bacaan kita untuk kita memilih dan menyaring yang terbaik kerana diri
kita bukan sekadar apa yang kita makan tetapi lebih dari itu kita dibentuk
dengan apa yang kita baca.
Umat Islam itu sememangnya umat
membaca. Tetapi persoalannya, mengapa umat Islam masih lemah walaupun umat
Islam adalah umat membaca? Adakah mungkin sebagai umat Islam kita masih tidak
mengamalkan dan menghayati Islam sebaiknya? Sebab itulah Ustaz Pahrol berpesan
untuk kita meneliti beberapa aspek dalam menjadikan kita umat membaca yang
berkesan. Pertama, kita perlu memastikan kualiti bahan bacaan. Kedua, perlu
teliti dengan kaedah kita membaca dan yang terakhir cara kita mengatur
kehidupan kita supaya bahan yang kita baca menimbulkan kefahaman, penghayatan
dan penggerak untuk kita mengamalkan agama ini secantiknya.
![]() |
OREN - Berita Harian dengan tema 'Oren' untuk menghargai klien mereka "Oren menyerikan lagi akhbar ini" by Tropicana |
Ustaz Pahrol juga menegaskan
kepada semua umat iqra’ untuk menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai bacaan
utama supaya dapat menguatkan iman dan terhindar dari buta hati kerana ilmu itu
adalah cahaya. Di samping itu, usah kesampingkan membaca ilmu yang berkaitan
keperluan dunia supaya umat iqra’ ini tidak buta akal.
Perpustakaan Negara
Malaysia pada 1996 yang merumuskan secara amnya rakyat Malaysia hanya membaca
dua naskhah buku sepanjang tahun. Dan pada tahun ini jumlah purata tersebut
meningkat namun masih jauh ketinggalan dengan Negara-negara lain antaranya
Jepun dengan purata 40 naskah buku setahun, Eropah dengan purata 10 naskah
setahun tetapi mendukacitakan apabila Arab menunjukkan purata hanya 20 helai
buku setahun. Ini menunjukkan betapa jauhnya umat iqra’ ini dengan budaya
membaca. Bagi kita, Negara Islam di rantau Asia Tenggara ini pula pada tahun
2005 kajian mendapati jumlah naskah buku masih tidah berubah dengan tahun 1996
iaitu 2 naskah buku setahun yang
melibatkan jenis pembacaan surat khabar sebanyak 77.4%, bahan majalah;
3%, buku; 3% dan bahan bacaan komik 1.6%. Dari kajian ini kita boleh melihat di
mana dan siapakah kita yang mengaku sebagai umat iqra’ ini.
Semoga kita dapat
menggembalikan kegemilangan kejayaan Rasulullah SAW mengubah puak jahiliah
pertama 1400 tahun dahulu dengan menanamkan semula budaya membaca yang mampu
mengubah umat pada zaman jahiliah alaf baru ini. Moga dapat diterapkan kembali
formula membaca sebagai anak kunci kepada ilmu pengetahuan. Menerusi iqra’ akan
menjadi anak kunci kepada solat, zakat, puasa, jihad dan laluan pembuka kepada
segala ilmu Allah SWT yang lain. Bila mantap ilmu, maka ia akan menjadi imam
dan amalan menjadi makmum yang mengikut dibelakangnya dan sentiasa mengiringi.
Amalan-amalan ini jika dilazimi dan istiqomah dengannya, inshAllah ia akan menjana
taqwa. Bila terbit, tumbuh dan membesarnya taqwa maka di situlah kekuatan umat
islam hari ini. Menjadi umat Islam yang bukan hanya pada nama tapi umat Islam
pada amalnya yang kembali kepada prinsip asal iaitu IQRA’.
CaHayati
IKIMfm
Siaran : 24 September 2014
CaHayati
IKIMfm
Siaran : 24 September 2014
![]() |
Malam pertama Kembara Muslim Cordoba 2014/1435H bersama Hjh Mazlina Ismail di Madrid, Spanyol |
No comments:
Post a Comment