
Rasulullah SAW mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah mafhumnya,
“Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti.” (Riwayat al-Baihaqi)
Pekerjaan adalah proses, wadah dan kaedah untuk beri kebaikan
kepada orang lain. Bukan sekadar mendapat laba tetapi gudang memperoleh pahala.
Bukan semata makan gaji tetapi menghadam sebanyaknya kebaikan dan reda Ilahi.
Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengajak kita melihat pekerjaan dari
perspektif Islam yang kaya dengan kebaikan dan punya kaitan dengan tujuan
kehidupan menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm; Rabu lalu. Pegang kata kunci
“Beri kebaikan yang terbaik jika ingin menjadi baik” untuk membezakan pekerjaan
manusia dengan mahluk Allah yang lain mahupun meletakkan beza pekerjaan umat
Islam dengan yang belum beragama Islam.
Menyorot kehidupan sebagai hamba Allah SWT juga khalifah di atas muka bumi diberi tanggungjawab bekerja sebagai salah satu cabang ujian dan menjadi kewajipan untuk ‘menang’ dalam menyahut ujian tersebut. Caranya dengan melaksanakan perkerjaan pada tahap ‘terbaik’ sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Mulk ayat dua mafhumNya, “Dialah yang mencipta mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)”.
![]() |
Bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Mukmin Profesional 2012 |
Dalam gelanggang yang bernama pekerjaan serba serbi bakal
diuji. Kompetensi diuji, kesungguhan diuji, kecekapan diuji, keikhlasan diuji
dan akhlak juga tidak terlepas dari diuji. Setiap ujian menjadi kayu penanda
keperibadian seseorang mukmin.
Allah berfirman di dalam Surah al-Qasas ayat 26 mafhumnya, “Sesungguhnya orang yang paling
baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” Perlu menggabungkan ciri-ciri dari
sudut al-quwwah;
iaitu kekuatan serta kemampuan bukan sekadar fizikal tetapi juga ilmu dan
kemahiran dan al-amanah;
punya amanah, ketelusan serta kasih sayang dalam melaksanakan tugasan. Inilah
sifat umat Islam dalam bekerja. Ada gabungan kepakaran juga keimanan, ada
cantuman integriti dan kompitansi. InsyaAllah segala yang direncana menjadi dan
diberkati.
Melakukan kerja dengan acuan Allah bukan terapan manusia akan
melahirkan pekerja yang punya prestasi kerja yang tinggi. Terdapat tiga (3)
elemen sebagai neraca kerja yang terbaik. Pertama; capai kualiti denganinput yang sedikit menghasilkan output yang banyak, kedua; kuantiti yang
lebih baik dan ketiga; akhlak, etika serta adab yang terpuji yang membangun
jati diri, sahsiah dan peribadi seorang mukmin.
Menelusuri cara kerja yang dipamerkan oleh Imam Malik
rahimahullah ketika menyuarakan pendapat untuk menulis Kitab Muwatta’ dan
dipertikaikan oleh orang lain kerana ketika itu sudah ada Kitab Muwatta’ yang
ditulis oleh orang-orang terdahulu, jadi apakah perbezaan pada hasil tangan
Imam Malik? Lalu Imam Malik rahimahullah menegaskan perbezaan terletak pada
keikhlasan dan keikhlasan itu akan berkekalan.
Imam Malik rahimahullah telah menulis dengan ikhlas dan
mengharap reda Allah SWT sehinggakan beliau menyaring tiga ribu daripada
sepuluh ribu hadis dalam menghasilkan Kitab Muwatta’ karangan beliau. Beliau
begitu teliti dan hanya inginkan yang terbaik. Sebagai ganjaran ketelitian,
kesungguhan dan curahan ilmu yang terbaik itu, sehingga hari ini jika menyebut
Kitab Muwatta’ hanya terbayang Kitab Muwatta’ milik Imam Malik rahimahullah dan
terpadam kitab-kitab muwatta’ yang terdahulu sebelum beliau. Hebatnya
keikhlasan yang akhirnya melahirkan ketelitian dan kesungguhan. Rasullullah SAW
pernah menyatakan bahawa Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan
kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh.
Bukan suatu yang mudah untuk melakukan kebaikan. Terkadang
setiap kebaikan yang dilakukan perlu kepada perlindungan dari tempias kata-kata
yang mengecewakan. Allah SWT mengingatkan bahawa kesenangan dan kesusahan itu
adalah ujian ke atas hambaNya dan ia adalah sunnatullah. Bukankah syurga itu
dipagari dugaan dan ujian sedang neraka dipagari kesenangan serta kenikmatan?
Sedangkan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia juga diuji apatah lagi kita
manusia biasa yang selayaknya diuji.
Jika ada suara mengkritik perbuatan baik kita, Ustaz Pahrol
menasihatkan agar kita katakan kembali bahawa perbuatan atau kerja baik kita
bukan bererti kita sudah menjadi baik, tetapi itu sahaja usaha kita untuk
menjadi orang yang baik. Dan jika ditanya adakah kita sudah baik? Usah yakin
bahawa kita sudah jadi baik tetapi jawablah dengan yakin bahawa kita sedang
dalam usaha menjadi baik dengan melakukan kebaikan dengan kebaikan yang
terbaik.
Walau apa jua kekangan, lakukanlah kebaikkan dengan sehabis
baik dan penuh kesungguhan serta iltizam kerana ia sangat berkait rapat dengan
iman dan cara meraih reda serta cinta Allah SWT. Dr. Yusof Qardawi mengatakan
bahawa dalam usaha meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti pengeluaran,
tiada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya selain dari iman. Ini
akan melahirkan pekerja yang selari dengan falsafah Islam. Malah etika
dan profesionalisme Islam meletakkan kesetiaan kepada Allah SWT dan rasulNya
mengatasi segala-gala nilai yang wujud dalam sesuatu sistem atau budaya.
Sebagaimana hadis di awal perkongian tadi berkenaan
kesungguhan dan ketelitian, Allah SWT sangat menyukai hambaNya yang itqan dan mengelokkan kerjanya. Kerja yang
bersungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan taqwa, ketulusan hati,
keluhuran budi dan kemuliaan akhlak yang semua sifat-sifat ini akan dikira oleh
Allah SWT dalam menentukan amal hambaNya diterima atau sebaliknya. Seiring
pelaksanaan kerja yang baik, prinsip kesempurnaan juga sangat menitikberatkan
elemen ikhlas. Semoga dicampakkan ikhlas ke dalam hati kita sewaktu
melaksanakannya. InshaAllah.
Jawatan, kerja, tugas atau apa jua profesyen yang kita
pegang bukan suatu kebanggaan yang boleh kita gunakan sebagai suatu alat untuk
mencapai cita-cita dunia tetapi ia merupakan suatu amanah yang wajib ditunaikan
dengan cara yang sempurna. Mudah-mudahan kerja yang kita lakukan itu bukan
sahaja membawa faedah duniawi tetapi juga manfaat ukhrawi sebagai suatu bentuk
ubudiyyah kita kepada Allah SWT .
Islam bukan sekadar mendidik kita untuk memberi kebaikan,
malah menuntut kita menghulur kebaikan yang terbaik. Lakukan kerja tidak cukup
dengan buat kerja yang betul tapi laksanakan dengan betul-betul. Sesungguhnya
kerja itu untuk dijalani, dinikmati dan disyukuri, semoga kita dapat lakukan
kerja kita dengan sepenuh hati, penuh kasih sayang dan dilaksana dengan yang
TERBAIK.
![]() |
CaHayati
Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
15 Zulkaedah 1435H / 10 September 2014
|
![]() |
Bersama Penulis dan pemilik kisah Nourah; Wanita kuat dan kental |
![]() |
Bersama Dr Mohd Farid Mohd Shahran |
![]() |
Menjadi Moderator Forum Fiqh Wanita bersama Ustazah Norhafiza, Dato' Siti Norbayah dan sis Oki Satriana Dewi; Bila Cinta Bertasbih |
![]() |
Bersama Ustaz Ebit Lew; Islam Agamaku |
![]() |
Bersama Ustaz Syaari Abdul Rahman; Ibrah |
![]() |
Bersama Prof Muhaya; Islam Itu Indah |
Bersama Maher Zain |
![]() |
Di Kemboja bersama Qhaleesha (Dalam kandungan) |
No comments:
Post a Comment