Terima kasih...
Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah
sallallaahu ‘alayhi wa sallam berhijrah ke Madinah, ada dua hari perayaan yang
disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bertanya: dua hari apakah ini?
Jawab mereka: kami bersuka ria pada dua hari ini di zaman Jahiliah. Lalu
Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda mafhumnya;
“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Riwayat Abu Dawud).
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Laa Ilaaha
Illallaah!
Allahu Akbar wa Lillaahilhamd!
1
Syawal 1435H, Aidilfitri kembali bertamu. Mengukur syukur menyingkap rasa
bertuhan di hari yang penuh kegirangan menyambut kemenangan. Kejayaan beroleh
Ijazah takwa setelah sebulan menduduki peperiksaan Ramadan. Berjaya
membersihkan diri kembali kepada fitrah seorang hamba yang bernama manusia dan
bukannya hanya menumpang riang gembira insan-insan soleh di akhir zaman ini
sahaja.
Allah
berfirman menerusi Surah Al-Syams ayat 7 hingga 10 mafhumnya,
“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)”
Setelah sebulan membaja iman mana mungkin hadirnya saat
menuai takwa iaitu Syawal menghumban segala usaha tarbiah dengan perkara-perkara
yang mencantasnya. Tidak dinafikan Rasulullah
sallallaahu ‘alayhi wa sallam menganjurkan
kita berhibur di Aidilfitri ini malah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga pernah menegur Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar
memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di
rumah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa
sallam dengan katanya :
"Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" (Riwayat Al-Bukhari).
Hari ini memang hari untuk kita berhibur dan gembira.
Tetapi janganlah pula dengan hiburan yang sekali lagi membuktikan bahawa kita
tiada jati diri, tiada identiti dan masih gagal melepaskan diri dari hiburan yang
bernama ‘Hedonisma’.
Secantiknya, 1 Syawal dimulakan dengan amalan-amalan sunat
seperti mandi sunat hari raya dan menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan Solat
Sunat Aidilfitri. Syawal juga lebih indah dengan memperbanyakkan takbir bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir
setelah selesainya imam membaca khutbah. Disunatkan bertakbir di sepanjang
perjalanan dari rumah menuju ke masjid seperti yang dinukilkan oleh Ad-Dar Qutni bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di
hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar
untuk mengimamkan solat sunat hari raya.
Telah menjadi tradisi amalan
umat islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari
lebaaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, maaf zahir batin’. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah "Taqabbalallahu
minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan
ibadat di Ramadan) kami dan kamu" sebagaimana disebut dalam sebuah riwayat
Al-Baihaqi
“Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka".
Sucinya
Syawal dengan syiar takbir membesarkan Allah Pentadbir Alam dan murninya dengan
saling mengunjungi, bersilaturrahim dan memberi kemaafan. Moga usaha yang suci
dan murni ini tidak merobohkan ‘benting puasa’ yang kita bina hanya dengan
melakukan perkara-perkara biasa yang luar biasa dari sudut syariatnya.
Tatkala
berziarah ke rumah jiran tetangga, sanak-saudara dan sabahat handai, kita amat dianjurkan untuk bermaaf-maafan antara satu sama
lain bagi menjernihkan hubungan yang keruh, tetapi tidaklah bermakna memohon
maaf ialah dengan berjabat tangan antara satu sama lain. Oleh yang demikian,
perlu dihindari berjabat tangan antara lelaki dan perempuan ajnabi kerana hukum
berjabat tangan dengan wanita ajnabi (bukan muhrim) adalah haram sebagaimana firman Allah dalam surah
an-Nisaa’ ayat 22:
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu (ibu-bu tiri kamu) kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji (di sisi syara’) dan dibenci (oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala) dan adalah seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).
Selain itu, kemeriahan
Aidilfitri kebiasaannya menjadi medan fesyen. Apa yang menyedihkan ialah
mengenakan fesyen yang sangka sudah menutup aurat tapi hakikatnya tidak. Umpama
memakai pakaian yang ketat sehingga menonjolkan bentuk tubuh atau pakaian yang
jarang yang menampakkan warna kulit walaupun memakai tudung. Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan perkara tersebut dengan bersabda:
”Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama)…” (Hadits riwayat Muslim)
Ramadan
mendidik kita untuk menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.
Jadikan Syawal cerminan keberkesanan latih-tubi di madrasah Ramadan. Jagalah
silaturrahim dan saling kunjung mengunjungi sebagai kewajipan di Hari Raya.
Inilah masanya si kecil mengenal salasilah keluarga mereka. Usah dibiarkan
program Televisyen menjadi juadah utama mereka di Hari Raya. Dan pastikan
kesibukan berhari raya pula tidak mengganggu rutin pengabdian pada Yang Esa.
Aturlah masa sebaiknya.
Sudah
semestinya, Syawal 1435H ini jiwa pasti berbelah bagi. Kemeriahan Aidilfitri di
tanah air tidak dapat memadam pedih menyaksi dari kejauhan saudara seislam di
bumi Gaza. Dipeluk kepiluan misteri
belum terungkai MH370 bertimpa tragedi menyayat hati MH17. Menempa cekal
berbekal tarbiah madrasah Ramadan, menyuntik semangat dalam mehnah qada’ dan qadarNya. Dalam sibuk
berhari raya, bekalkan doa buat mereka.
Moga Aidilfitri ini mengukir semurni takbir, bagi menagih sesuci takdir. Salam fitrah Aidilfitri dari kami di IKIMfm; Pilihan Utama Anda.
>>Penulis ialah penyampai dan penerbit rancangan Kanan IKIMfm
Norhayati Paradi
IKIMfm
28 Julai 2014 / 01 Syawal 1435H
No comments:
Post a Comment