Rasullullah SAW bersabda mafhumnya, “Berfikir sesaat lebih afdal daripada ibadah setahun....” dan sesungguhnya
dengan mengingati Allah menerusi zikrullah jiwa akan menjadi tenang. Gandingan
dua elemen zikir dan fikir saling melengkap untuk menyingkap rasa kehambaan
kepada Allah Azzawajalla. Alhamdulillah, berada dalam ruangan ini berkongsi
intipati bicara al-Fadhil Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di
IKIMfm mengajak diri mengenal Ilahi dalam setiap inci yang terpapar di atas
muka bumi.
Ustaz Pahrol mengajak kita untuk
menjana akal sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam menciptakan
langit dan bumi, terbit dan terbenamnya matahari, silih bergantinya siang dan
malam serta kejadian manusia itu sendiri menerusi firmanNya dalam surah
Al-Zariyat ayat 20-21 mafhumNya
“…Dan di bumi bukti-bukti kebesaran Allah bagi orang yang yakin. Pada dirimu sendiri tidakkah kamu melihat?”
Menyorot kisah pemuda Gaza di Palestin
yang saban hari diserang dan dipersalahkan oleh Yahudi Zionis, dia tidak
meminta umat Islam di Negara luar mengangkat senjata berperang dan syahid
bersama mereka tetapi hanya meminta didoakanlah untuk dia bertemu syahid dan
menjadi satu penghinaan bagi keluarga di Gaza jika dalam satu keluarga tidak
memiliki anak yang syahid. Kisah itu sebenarnya mempunyai nuansa dan nada yang
sama sebagaimana kisah yang masyhur mengenai dua sahabat ketika berlakunya
perang Uhud yang tercetus di bulan Syawal tahun ke-3 hijrah; Saiyidina Saad Bin
Abi Waqas, sahabat Rasulullah SAW yang dijamin syurga dengan sepupu Rasulullah
SAW iaitu anak kepada Umaimah binti Abdul Mutalib yang bernama Abdullah bin
Jahsy.
Kisah yang melambangkan kuasa doa dan
menginggati Allah SWT. Ketika mereka berdua berada di suatu tempat yang
terpencil, Saad bin Abi Waqas telah berdoa kepada Allah, “ Ya Allah, pertemukan
aku dengan musuh yang paling buas dan jahat. Aku akan melawannya dan berikan
aku kemenangan.” Manakala, Abdullah bin Jahsy mengaminkan doa tersebut dan
turut menambah doa tersebut, “Ya Allah, pertemukan aku dengan musuh yang jahat
dan buas. Aku akan melawannya dan gugur di tangannya. Kemudian dia memotong
hidung dan telingaku”. Lantas diaminkan oleh Saad bin Abi Waqas.
Ketika peperangan berakhir, ternyata
Allah memakbulkan doa Abdullah bin Jahsy. Para sahabat menemui jasadnya gugur
sepertimana doanya. Hidung dan telinganya hilang serta tubuhnya digantung
dengan seutas tali. SubhanaAllah hebatnya kuasa doa. Dan hebatnya didikan takwa
dengan rindu kepada Allah dan tidak ada penyakit di dalam hati yang disebut
oleh Rasullullah SAW iaitu al-wahan; cinta dunia dan takut akan kematian.
Sekaligus mewujudkan hamba Allah yang berzikir serta khalifah yang berfikir.
Surah Al-Imran ayat 190 dan 191, Allah
berfirman yang mana mafhumnya,
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal. Iaitu orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk, dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi sambil berkata, “Ya Tuhan kami, Engkau tidak menciptakan ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau! Maka peliharalah kami dari siksa neraka.”
Sesungguhnya dengan berzikir iaitu
ingat kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan berfikir
tentang apa yang diciptakan Allah merupakan kaedah terbaik membangunkan umat
Islam. Melihat alam sebagai alamat atau tanda adanya Pencipta kepada segala
keajaiban ini sekaligus membawa kita dekat dengan Allah. Sentiasa merasakan
bahawa Allah ada di sisi dalam apa jua posisi dan situasi. Senang dia
bersyukur, susah ia bersabar dan jika sakit dia percaya bahawa ianya adalah
ujian dan kifarah dari dosanya oleh Allah melalui sakit itu. Sebagaimana
tabahnya Nabi Ayub A.S. dalam mengharungi penyakit kulit kronik yang beliau
hadapi tanpa sesekali mengeluh apatahlagi menyalahkan Allah atas ujian
tersebut. Umpama ikan dengan air; ikan akan mati tanpa air begitu juga manusia
akan mati tanpa zikir.
Menjengah kepada asbabulnuzul
diturunkan ayat 190 surah Al-Imran ini, at-Thabarani dan Ibnu Abi Hatim dari
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa orang kafir Quraisy telah datang kepada
orang Yahudi untuk bertanya, “Apakah mukjizat yang dibawa Musa kepada kalian
semua?” Mereka menjawab, “Tongkat dan tangannya dilihat putih bercahaya.”
Kemudia mereka bertanya kepada kaum Nasrani, “Apakah mukjizat yang dibawa Isa
kepada kalian semua?” Mereka menjawab, “Dia dapat menyembuhkan orang buta sejak
lahir sehingga dapat melihat, menyembuhkan orang yang berpenyakit sopak dan menghidupkan
orang yang sudah mati.” Kemudian mereka datang mengadap nabi SAW dan berkata, “
Hai Muhammad, berdoalah kepada tuhanmu agar gunung Sofa ini menjadi gunung
emas.” Lalu Rasullullah SAW pun berdoa maka turunlah ayat 190 Surah Al-Imran
ini sebagai petunjuk untuk memerhatikan apa yang telah ada, yang mana akan
lebih besar manfaatnya bagi orang yang menggunakan akal fikiran.
Maha Suci Allah yang menjadikan
Al-quran mukjizat agung, bukti kenabian buat Rasulullah SAW. Menjadi titipan
kasih dan panduan dari Allah SWT buat kita seluruhnya. Dijadikan Al-quran kalam
perantara, diwujudnya alam untuk suara yang lebih mendalam dan pada
setiap peristiwa memberi makna yang istimewa. Itulah cara Allah berbicara
kepada kita hambaNya. Sesungguhnya Allah mencipta suatu perkara tidak dengan
kebetulan tapi Allah mentakdir terjadinya suatu perkara dengan tujuan. Tujuan
ini adalah bicara tuhan yang perlu untuk kita faham dan lakukan selari dengan
tujuan iaitu ululalbab. Sekali lagi untuk menjadikan umat Muhammad hamba yang
berzikir dan khalifah yang berfikir.
Jika direnungkan, betapa tongkat Nabi
Musa a.s sudah tiada namun alam ini masih kekal wujudnya. Cuba bayangkan jika
bukit Sofa benar-benar menjadi emas pasti sudah tandus di tarah sekali gus
menghilangkan bukti kenabian Rasulullah SAW.
Dan di dalam Al-quran juga terdapat 17
ayat yang menyentuh seruan kepada manusia untuk berfikir, tafakkarun dan
yatafakkarun. Al-quran menggalakkan kita untuk selalu berfikir kerana dengan
berfikir kita akan mencapai apa yang kita tuju dan hajati. Menerusi zikir dan
fikir maka kita akan perolehi apa yang kita hajati dalam doa dan harapan kita.
Allah berfirman maksudnya,
“Maka tuhan mereka perkenankan doa mereka dengan firmanNya, "Ses
ungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setangahnya yang lain; maka orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan diusir keluar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan AgamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala di sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).” (Al-Imran ayat 195).
Terus panjangkan doa, hindarkan
mementingkan diri dalam berdoa. Doa bukan sekadar untuk diri kita tapi
berdoalah untuk semua. Moga kita sentiasa dalam ampunan Allah di samping mampu
meningkatkan fikir dan memperkasa zikir sebagai bekal sepanjang hayat.
>>Penulis merupakan Penerbit
Rancangan Kanan IKIMfm
Norhayati Paradi
IKIMfm
06 Ogos 2014 / 10 Syawal 1435H
No comments:
Post a Comment