“Andai ku tahu
Kapan tiba ajalku
Ku akan memohon
Tuhan tolong panjangkan umurku…”
Lirik yang acapkali ke udara di tetuang
suara IKIMfm menjadi tema perkongsian minggu lalu menerusi Islam Itu Indah
perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi membawa peringatan bahawa kematian itu pasti
tapi waktunya masih misteri. Menjentik hati cukupkah amal buat bekal di alam
yang kekal? Sudahkah nikmat di guna untuk taat dalam mengecap hidup yang
berkat?
Ujian datang silih berganti selagi
belum tiba yang bernama ‘mati’. Seiring musibah, datangnya bersama
hikmah. Sememangnya ujian itu pahit, terimalah dengan jiwa pasrah beserta hati
yang berpegang teguh dengan tauhid. Pesan Ustaz Pahrol lagi, Hakikat sebenar
musibah apabila kita jauh daripada Allah SWT, Allah bawa kita kembali dekat
denganNya untuk meraih jannah dengan memudarkan sombong, pemarah, hasad, cinta
dunia. Sifat mazmumah akan ditekan dengan ingatan kepada kematian yang
merupakan pemutus kepada kelazatan dunia.
Musibah juga adalah saluran untuk
merintih dan munajat pada Allah SWT ketika kita leka padaNya. Suatu paksaan
untuk dekat denganNya. Dan hikmah terbaik di balik musibah adalah lahirnya
manusia yang bijaksana dengan menginggati mati dan membuat persiapan untuk
kehidupan selepas mati.
Jelas ajal tidak ditangguh kerana
Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 34 mafhumnya,
“Maka apabila ajal sudah datang, mereka tidak dapat menangguhnya (walaupun) satu detik dan tidak juga dapat mendahulukannya.”
Firman-Nya lagi dalam surah
al-Munafiqun ayat 11 mafhumnya
“Allah tidak akan menangguh kematian sesuatu yang bernyawa (sama ada manusia atau lainnya) apabila ajalnya sampai”.
Bertuah bagi manusia yang terpilih
untuk mengetahui waktu kematiannya seperti berpenyakit kronik, menerima hukuman
mati dan sebagainya kerana mereka boleh membuat persiapan dan persediaan
sebaiknya. Berkemungkinan juga tempoh masa yang diperuntukan lebih pendek di
sisi ketetapan tuhan Yang Maha Berkuasa. Usia sememangnya ketentuan tuhan yang
dirahsiakan tetapi masih ada usaha dari kita untuk panjangkan usia kita.
Panjangkan usia dengan memanjangkan kuantiti masa pada usia, usahakan juga
untuk memanjangkan kualiti usia dan panjangkan amal jariah dengan malan yang
terus hidup walaupun kita telah tiada.
Dengan bermodalkan harta, ilmu, akhlak,
keperibadian, agama, tenaga dan masa; usia mampu dipanjangkan. ‘Panjang umur’ bermaksud kekalnya sebutan dan pujian yang baik selepas
kematian seseorang seolah-olah dia masih hidup.
Jika perhatikan dalam beberapa
keterangan nabi SAW, umur boleh panjang dengan sebab doa, silaturrahim, berbuat
baik dengan ibu bapa, jiran tetangga dan juga semua jenis amal kebajikan.
Antaranya ialah berkaitan silaturrahim seperti yang diriwayatkan daripada Anas
bin Malik RA bahawa dia mendengar nabi SAW bersabda mafhumnya
“Barangsiapa yang suka dibentangkan baginya rezekinya dan dilewatkan ajalnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.” (Riwayat al-Bukhari).
Kualiti usia boleh diperolehi menerusi amalan
solat secara berjamaah sepertimana sabda Rasullullah SAW daripada Abdullah bin
Umar RA mafhumnya, “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian
sebanyak 27 kali ganda.”. Itu yang membezakan kualiti umur hamba Allah
berusia 40 tahun yang menghabiskan usianya dengan solat bersendirian dengan
hamba Allah yang berusia 20 tahun yang istiqomah menunaikan solat secara
berjamaah. Selain itu, dengan solat berjamaah di masjid setiap langkah menuju
ke masjid meningkatkan darjat dan langkah pulang dari masjid akan menghapuskan
dosa. Diriwayatkan daripada Muslim daripada Uthman bin Affan berkata,
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya,
“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim).
Bertambah hebat jika di sulami solat sunat
di rumah sebelum melangkah ke masjid.
Petua panjang usia juga dengan
panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa di samping mengamalkan
adab-adab dalam islam. Siapa tidak kenal Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi
‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya. Imam Safie, Imam Ghazali tidak sempat pencen
istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad.
Contoh lain Umar ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi
keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya. Itu pencen
kubur, saham akhirat; walaupun jasad sudah tiada namun amalan masih hidup dan
berterusan.
Beruntunglah pada mereka yang bergelar
guru, pendidik mahupun murabbi kerana mereka adalah lagesi penyambung tugas
Rasullullah SAW. Mereka peroleh kebaikan ilmu yang dimanfaatkan, doa anak soleh
dan amal jariah yang berpanjangan yang datang sebagai pakej bersama anak didik
yang diberinya tunjuk ajar.
Selain itu, rahsia kejayaan orang-orang
yang ‘panjang’ umur adalah dengan banyaknya bersedekah. Mereka tahu tujuan
hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan.
Sesungguhnya dunia akan sentiasa menyediakan jalan kepada orang seumpama ini.
Harta yang dimiliki usah disimpan, dan harta yang salurkan ke jalan Allah SWT
berupa sedekah juga berupaya melipat gandakan usaha amalan. Harta yang
menjadi milik sebenar kita adalah yang dikeluarkan di jalan Allah dan harta
yang disimpan itu milik orang lain selepas ketiadaan kita.
Rasulullah SAW menggalakkan umat
baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini
terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata
bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera).
Bersedekahlah walau hanya sebelah kurma kerana ia lebih
bernilai dari bergedung-gedung harta.
Umar Ibn Aziz yang pernah
mengungkapkan, “mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati
lagi iaitu alam akhirat. Manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup
selepas mati itulah hidup yang hakiki!”
Justru,
Hidupkanlah hidup selagi hidup
sebelum mati menjemput kita.
Sesungguhnya mati itu tidak diketahui
tapi pasti. Kematian akan melenyapkan seluruh kenikmatan, bersiap sedialah
menghadapi kematian yang pasti akan hadir. Biarlah ‘kematian’ itu hidup dalam
diri kita kerana ingat mati akan ‘menghidupkan’ kita.
Orang yang ingat mati akan menyegerakan
taubat sebelum terlambat. Saya akhirkan inti pati perkongsian Islam Itu Indah
dengan lirik akhir lagu di awal penulisan tadi.
Dari segala dosa-dosaku,
Ampuni aku,
Menangisku bertobat padamu.”
- Andaiku tahu - Ungu
Norhayati Paradi
Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
03/09/2014 / 08 Zulkaedah 1435H
No comments:
Post a Comment