Orang
lama pernah berpesan; berbuat sesuatu hendaklah sesuai dengan tempat dan
keadaan, supaya perbuatan itu berhasil dengan baik. Perlu adil dalam menyelaras
perasaan. Menyingkap perihal memboikot produk keluaran zionis dan sekutunya
yang kembali menjadi topik utama dunia, ianya boleh difahami sebagai tamsilan
kepada didikan yang diperoleh dari madrasah Ramadan yang lalu iaitu melahirkan modal
manusia bertakwa terutama dalam meneliti setiap tindakan yang dizahirkan.
Itu
antara intipati perkongsian Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi
minggu lalu. Bila bicara tentang takwa, ianya sudah terbina di dalam jiwa umat
Islam. Walaupun ketakwaan itu sifatnya maknawi kerana letaknya di dalam hati,
namun ia boleh melahirkan tindakan-tindakan yang konstruktif; Nampak di
mata dan mampu dibina. Ia mampu
menzahirkan tindakan-tindakan yang dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan
diri, keluarga, masyarakat, Negara dan juga umat.
Takwa
punya nilai di sisi Allah. Oleh itu, apabila seseorang itu akrab dengan Allah
dari segi nilai ketakwaannya, maka ia akan beri kesan yang besar kepada
hubungan sesama manusia. Manusia akan berjaya menghadapi musuh zahir dan batin
apabila menggabungkan iman dan juga ukhuwwah.
Allah
berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 134 mafhumnya “iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan
susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang
memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang-orang yang
berbuat perkara-perkara yang baik”. Menerusi ayat ini Allah memberikan kita
kayu ukur ketakwaan, antara tanda orang bertakwa yang dinyatakan secara jelas menerusi
ayat tersebut adalah orang yang mampu menahan marahnya.
Imam
Bukhari meriwayatkan, Abu Hurairah menceritakan bahawa seorang lelaki datang
meminta nasihat daripada Rasulullah SAW, baginda menjawab “Jangan marah”.
Lelaki tersebut mengulangi soalannya. Rasulullah SAW menjawab “Jangan marah”.
Soalan diulang lagi beberapa kali, lantas baginda mengulang juga jawapan yang
sama. Di dalam riwayat Imam Tarmizi, lelaki itu berkata “Wahai Rasulullah,
berilah nasihat kepadaku dan janganlah terlalu banyak, moga aku senang
memahaminya”. Lantas baginda menjawab “Jangan marah”. Betapa Rasulullah
menekankan tentang mengawal marah kerana daripada marah akan timbul perasaan
lain seperti dendam dan hasad dengki yang membawa mudarat yang jauh lebih besar
sebagaimana dinyatakan bahawa dendam dan dengki itu
boleh menghanguskan amal ibadah kita. Ditamsilkan seumpama api yang bukan
hanya membakar orang lain malah lebih cepat membinasakan diri sendiri. Oleh
itu, usahlah marah, kawallah ammarah yang ada.
Marah
juga dipercayai menjadi punca kepada pelbagai penyakit zahir. Satu kertas
kajian yang disediakan oleh penyelidik dari University College London
mendapati; lelaki yang mudah meradang dan panas baran besar kemungkinan akan diserang
penyakit koronari berbanding mereka yang tidak bersikap demikian. Dan kajian
kedua menghasilkan beberapa teori mengenai emosi marah yang diterjemahkan dalam
bentuk serangan jantung. Ini disebabkan, golongan yang tidak mampu mengawal
marah mengalami kesukaran tidur, kurang mengambil ubat, mempunyai tabiat pemakanan
yang tidak sihat, tidak bersenam, dan lebih terdedah kepada ancaman obesiti. Perasaan marah juga akan menyebabkan
berlakunya penurunan imunisasi sekaligus menjadikan diri
lebih mudah diserang pelbagai penyakit.
Marah juga selalu dikaitkan dengan keganasan. Marah
sebagai tanda hilangnya kebahagiaan dan ketenangan. Marah pencetus kepada
penceraian, kemurungan malah kemalangan jalan raya juga adakalanya bermula
dengan wujudnya perasaan marah. Acapkali kita dengar marah diumpamakan dengan
api. Adakah api membawa kepada keburukan semata? Adakah ia tidak diperlukan
dalam menjalani kehidupan? Tidakkah hidup perlu diterangi dengan cahaya yang
berasal dari api? Bukankah untuk memasak juga perlu kepada api?
Menurut
Sheikh Sa’id Hawwa di dalam kitab al-Mustakhlas fi Tazkiyyati al-Anfus, tiada
manusia boleh terlepas daripada marah, Rasulullah SAW sendiri juga pernah
marah, bahkan Allah juga turut murka dalam situasi tertentu. Oleh itu, kita
mesti memahami bahawa ada marah yang diizinkan oleh Islam dan ada marah yang
dilarang. Di sinilah perlunya kepada
pertimbangan, sukatan dan kawalan terhadap kemarahan.
Terdapat tiga kategori manusia. Pertama orang yang
tercela kerana tiada rasa marah dalam diri. Allah berfirman dalam surah
At-Tahriim ayat 9 mafhumnya, “Wahai
Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta
bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka
Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.” Ayat ini mengajak kita untuk
bangun berjihad, tidak dayus terutama apabila berbicara tentang kekejaman
terhadap saudara seakidah kita.
Bukanlah yang dikatakan kuat itu dengan hebatnya bergusti,
demikian bicara Rasulullah SAW. Sesungguhnya orang yang kuat adalah mereka yang
mampu menahan dirinya daripada sifat marah dan tahu mengambil faedah dari
kemarahan untuk membina kekuatan. Siapakah yang
dikategorikan sebagai mampu menahan diri dari sifat marah ini? Mereka adalah
orang yang marah kerana Allah bukannya marah kerana marah. Itulah perjuangan
kita, untuk marah kerana Allah bukannya marah kerana marah yang membawa kepada
fitnah. Sewajarnya kita tahu letak duduknya marah. Bak kata Imam as-Syafie "Barangsiapa yang tidak marah ketika dia sepatutnya
marah, dia umpama keldai."
Kategori
kedua adalah kategori manusia yang melampau dalam marahnya. Ia terjadi ketika
mereka marah dengan melanggar pertimbangan akal rasional, melanggar perintah
Allah dan melanggar akhlak, adab dan susila ketika melampiaskan marahnya. Dalam
isu boikot contohnya, perlu bijak dan berilmu ketika memboikot bukannya dengan
emosi, memboikot dengan kekerasan dan menyimpang jauh dari adab kita sebagai
umat Islam yang hebat. Diumpamakan jika ingin menghadapi musuh dan menunjukkan
marah pada musuh dengan cara terbaik seperti menghadapi
anjing yang menyalak, usah berbuat yang sama dengan musuh umpama menyalak
kembali padanya kerana ternyata musuh itu bukan guru kita. Banyak lagi cara
yang lebih bijak untuk menunjukkan maraknya api kemarahan kita. Elakkan
dari merasa bangga dengan kemarahan yang dianggap sebagai kekuatan. Adakalanya
perlu memandang kemarahan itu sebagai suatu keabian dan kekurangan.
Oleh
itu, ambillah jalan sederhana dalam marah. Marah yang terkawal dan terpimpin;
marah yang kena pada tempat dan subjeknya. Jika islam dihina, dipersenda dan
hak Allah diperkotak-katikkan; wajib marah. Berbeza situasi jika diri kita
dihina, agama menganjurkan kita untuk memaafkan sahaja seperti yang telah
termaktub dalam surah Ali-Imran ayat 134 tadi. Selain itu, pilihlah untuk
berfikiran rasional walaupun dalam keadaan marah seperti kisah Saidina Ali
tidak meneruskan niat membunuh seorang Yahudi hanya kerana dikhuatiri niat
membunuh kerana Allah beralih menjadi membunuh kerana marah akibat diludah
wajahnya. Perlu bijak menganalisa antara agama dan peribadi dalam melampias
marah. Selain marah perlu kena pada tempat dan subjeknya, marah juga perlu kena
pada masanya.
Marah
mesti diluahkan, orang yang berjaya dalam hidup bukan orang yang tidak marah
tetapi orang yang dapat meluahkan marahnya secara konstruktif. Marah usah
dipendam khuatir akan wujud dendam. Moga Allah pimpin hati, jiwa, emosi dan
pemikiran kita untuk dapat mengawal marah kerana dari situ kita belajar
mengawal diri kita. Inilah kejayaan sebenar apabila kita ingin bertempur dengan
musuh-musuh Islam. Semoga kita akan ada perjuangan nafas panjang yang
berlandaskan hukum Allah berdasarkan syariat. Marahlah kerana Allah.

No comments:
Post a Comment