Friday, 5 September 2014

KEKUATAN UMAT SETEGUH SUBUH

“Ya Allah berikanlah cahaya pada hati, lisan, telinga dan mata hamba. Jadikanlah cahaya dari belakang, depan dan di bawah hamba, dan sebelah kanan dan kiri hamba berikanlah cahaya. Ya Allah berikanlah kepada hamba cahaya,”
doa rutin Rasullullah SAW ketika hendak keluar melaksanakan solat subuh seperti yang telah diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a.

Permintaan indah yang cukup hebat dari seorang hamba Allah yang hebat kepada Penciptanya Yang Maha Hebat ini saya jadikan sebagai mukadimah intipati perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm pada pagi Rabu yang lalu.

Maha Suci Allah yang telah menjadikan keindahan subuh bukan sekadar pada cantiknya suasana, lembutnya udara tetapi juga pada kekuatan roh yang tiada tandingannya.Tatkala kita masih dalam semangat jihad memboikot hasil tangan dan fikir zionis, kita masih canggung memboikot kelakuan dan cara hidup mereka yang tumbuhmendarah daging.Hidonisme, hasaddengki, degil, zalim dan segala macam perbuatan mazmumah bersarang dalam diri.Apakah natijah yang bakal terhasil, jika kita masih lemah pada ketika musuh sudah lemah; mampukah kita mengatasi mereka yang lumpuh tidak berdaya dalam keadaan kita tiada tenaga?Inilah masa yang terbaik untuk kita bina kekuatan, menjana tenaga bagi menegak kebenaran.

Rasullullah SAW bersabda mafhumnya, 
"Sebaik-baik manusia adalah orang-orang yang hidup pada zamanku (generasiku) kemudian orang-orang setelah mereka kemudian orang-orang setelah mereka.”.
Tahukah kita antara kualiti yang dimiliki manusia pada waktu itu?Salah satu cirinya adalah mereka sangat mementingkan waktu subuh dan solat subuh.Mereka faham besarnya ganjaran yang bakalAllah berikan pada hari kiamat buat mereka yang mengutamakan waktu dan solat subuh sepertimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya, 
Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di Akhirat kelak.
(Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).Secara jelas menerusi hadis ini, mereka yang berjihad bagi menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid bakal memperoleh ganjaran dari Allah berupa ‘cahaya’ sempurna yang pasti didambakan oleh semua terutama dalam melalui ujian padang mahsyar yang penuh huru-hara. Cahaya itu juga hadir di dunia; hadir pada mereka yang hatinya terpaut kepada masjid.  Di zaman kemungkaran bermaharajalela, maksiat mendominasi dan amanah dipegang oleh mereka yang tiada hak atasnya, kita bukan sekadar keliru malah ‘buta’ pada kebenaran sebenar disebabkan kemungkaran yang sudah menjadi seakan budaya dan cara hidup. Kegelapan sebenilah yang memerlukan cahaya sebagai penunjuk jalan, walaupun jahiliyah kedua sedang berleluasa, namun melalui cahaya yang dikurniakan, dengan Izin Allah dapat kita  membezakan yang hak dan yang batil serta tahu tindakan yang dapat menyelamatkan diri dari terjerumus ke jurang maksiat dan dosa. Itulah antara kehebatan subuh yang memberikan cahaya kepada hati kita di dunia dan akhirat.

Selain itu, solat subuh juga boleh menjadi penanda aras kepada kecemerlangan umat. Telah bersabda Rasulullah SAW,
"Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isya dan solat subuh" (Hadis riwayat Ahmad).
 Dalam satu kisah yang sangat masyhur ketika pemerintahan Saidina Umar al-Khattab r.a sebagai khalifah,pada suatu hari Saidina Umar al-Khattab r.a telah mendapati Sulaiman bin Abi Hathmah tidak hadir untuk menunaikan solat subuh berjemaah. Pada pagi itu juga beliau menyongsong ke rumah sahabatnya itu lalu bertanya kepada ibunya al-Shifa', “Saya tidak melihat Sulaiman semasa solat subuh?”.  Lalu al-Shifa' menjawab, “Dia solat malam lalu tertidur pada pagi harinya."Kemudian Saidina Umar berkata “Sungguh, berjemaah dalam solat subuh itu lebih baik bagi ku daripada solat malam."
Begitu teguhnya iman pada zaman itu, sehinggakan ucapan takziah akan diberikan kepada sahabat yang tidak bersolat subuh.

Dr Raghib As-Sirjani dalam bukunya Misteri Solat Subuh menulis tentang seorang penguasa Yahudi berkata, “Kami takut kalau bilangan umat Islam melaksanakan solat subuh berjamaah menyamai atau melebihiumat islam melaksanakan solat Jumaat.” Inilah sebaik-baik demonstrasi untuk menunjukkan kebencian terhadap zionis dengan bangun solat Subuh berjamaah.Inilah peperangan sebenar kita, bukan mudah untuk bangun dari tidur, bersuci dan kemudian bergerak menuju ke masjid bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah.  Bayangkan, seseorang terpaksa berperang dengan gejolak nafsu dan godaan syaitan sejak awal-awal lagi bagi mematuhi perintah Allah.  Peperangan dalam diri itu diperjelaskan oleh Junjungan Muliamelalui hadis yang mafhumnya, 
“Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: ‘Nikmatilah malam yang panjang ini.’  Apabila dia bangun lalu mengingati Allah,  maka terlepaslah lilitan itu.  Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan yang kedua.  Kemudian apabila ia solat, lepaslah lilitan ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat.  Tetapi kalau tidak, dia akan terbawa lembap dan malas.” 
(Hadis riwayat al-Bukahri dan Muslim)

Waktu subuh juga adalah waktu yang melimpah ruah kebaikannya.Mari kita ambil iktibar kegemilangan zaman yang paling berjaya iaitu zaman Rasullullah SAW.Rasulullah s.a.w. sangat mengutamakan keberkatan pada waktu Subuh.  Baginda telah berdoa, mafhumnya, “Ya Allah berkati umatku pada waktu pagi.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Rasulullah SAW memilih waktu awal pagi untuk menghantar utusan dakwahnya. Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada al-Nu'man bin Muqarrin bahawa Rasulullah SAWakan menunggu matahari terbit sebelum memulakan pertempuran.  Beliau menjelaskan, “Aku turut bertempur bersama Rasulullah SAW.  Ketika fajar menyingsing, Baginda menahan tenteranya sehingga terbit matahari.  Saat matahari terbit, Baginda mengarahkan untuk bertempur."

Dengan keberkatan waktu Subuh dan doa yang dipanjatkan selepas solat Subuh, itulah dua ‘tiupan kemenangan’ yang membina keyakinan tentera Islam apabila berdepan dengan musuh-musuhnya.  Menerusi perang Badar, Anas bin Malik meriwayatkan, “Pada waktu perang Badar, Rasulullah SAW solat Subuh pada awal fajar,  kedudukan Baginda pada saat itu sangat hampir dengan musuh. Sejurus Subuh, Baginda memerangi mereka.” (Hadis Riwayat al-Nasa'i).

Justeru, Allah telah bersumpah dengan kuda-kuda yang digunakan dalam jihad di jalan Allah pada waktu Subuh.  Allah berfirman mafhumnya, 
“Demi kuda perang yang berlari kencang dengan terengah-engah, dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan kuku kakinya dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba pada waktu subuh.”(Surah al-'Adiyat ayat 1-3).


Ironinya, orang bukan Islam banyak memanfaatkan waktu awal pagi yang sangat optimum ini. Seperti yang dinukilkan oleh Dr Raghib al-Sirjani menerusi pemerhatiannya di Amerika. Sewaktu pergi dan pulang dari masjid setelah solat Subuh, orang Kristian, Yahudi dan Ateis; mereka bangun pagi untuk kehidupan dunia, bersamaan waktu solat subuh.  Hajat kemanusiaan mampu mendorong mereka untuk bangun pagi.  Namun mengapa seorang Mukmin tidak mahu mengerah segenap potensinya untuk menyamai mereka bangun pada waktu pagi? Berbezaketika bermusafir negara umat Islam di Timur Tengah,kehidupan beku dan kaku seusai solat Subuh., segala aktiviti masih belum bermula sebaik sahaja selepas waktu Subuh.  Ini realiti yang sangat menyedihkan.  Di negara kita juga keadaan yang sama boleh dilihat.  Jumlah umat Islam yang bergerak menuju ke masjid untuk solat Subuh berjemaah sangat sedikit berbanding jumlah orang bukan Islam yang bangun awal dan berpusu-pusu untuk berjoging, bersenam dan membawa anjing mereka berjalan-jalan pada awal pagi. Bayangkan, kerana cinta akan anjing, mendorong pemiliknya untuk bangun pagi, sedangkan cinta akan Allah tidak mendorong hambaNya untuk bangun pagi.
     
Realitinya, umat Islam kini semakin lupa tentang apa yang pernah dikatakan oleh Saidina Umar al-Khatab, “Hakikatnya kita tentera Islam dimenangkan Allah kerena dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera kafir, tetapi sekiranya kita turut berdosa sama dengan mereka, di manakah kekuatan kita?

Inilah masa terbaik untuk kita yakin dengan kehebatan waktu subuh, yang padanya cahaya matahari belum bersinar tetapi cahaya hidayah Allah telah memancar.Teruslah menjadi Pejuang Subuh dan Raihlah kemenangan dariNya.


Norhayati Paradi
IKIMfm

20 Ogos 2014 / 24 Syawal 1435H

Thursday, 4 September 2014

BUKAN KERANA MARAH

Orang lama pernah berpesan; berbuat sesuatu hendaklah sesuai dengan tempat dan keadaan, supaya perbuatan itu berhasil dengan baik. Perlu adil dalam menyelaras perasaan. Menyingkap perihal memboikot produk keluaran zionis dan sekutunya yang kembali menjadi topik utama dunia, ianya boleh difahami sebagai tamsilan kepada didikan yang diperoleh dari madrasah Ramadan yang lalu iaitu melahirkan modal manusia bertakwa terutama dalam meneliti setiap tindakan yang dizahirkan.

Itu antara intipati perkongsian Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu. Bila bicara tentang takwa, ianya sudah terbina di dalam jiwa umat Islam. Walaupun ketakwaan itu sifatnya maknawi kerana letaknya di dalam hati, namun ia boleh melahirkan tindakan-tindakan yang konstruktif; Nampak di mata  dan mampu dibina. Ia mampu menzahirkan tindakan-tindakan yang dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan diri, keluarga, masyarakat, Negara dan juga umat.

Takwa punya nilai di sisi Allah. Oleh itu, apabila seseorang itu akrab dengan Allah dari segi nilai ketakwaannya, maka ia akan beri kesan yang besar kepada hubungan sesama manusia. Manusia akan berjaya menghadapi musuh zahir dan batin apabila menggabungkan iman dan juga ukhuwwah.

Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 134 mafhumnya “iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”. Menerusi ayat ini Allah memberikan kita kayu ukur ketakwaan, antara tanda orang bertakwa yang dinyatakan secara jelas menerusi ayat tersebut adalah orang yang mampu menahan marahnya.

Imam Bukhari meriwayatkan, Abu Hurairah menceritakan bahawa seorang lelaki datang meminta nasihat daripada Rasulullah SAW, baginda menjawab “Jangan marah”. Lelaki tersebut mengulangi soalannya. Rasulullah SAW menjawab “Jangan marah”. Soalan diulang lagi beberapa kali, lantas baginda mengulang juga jawapan yang sama. Di dalam riwayat Imam Tarmizi, lelaki itu berkata “Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku dan janganlah terlalu banyak, moga aku senang memahaminya”. Lantas baginda menjawab “Jangan marah”. Betapa Rasulullah menekankan tentang mengawal marah kerana daripada marah akan timbul perasaan lain seperti dendam dan hasad dengki yang membawa mudarat yang jauh lebih besar sebagaimana dinyatakan bahawa dendam dan dengki itu boleh menghanguskan amal ibadah kita. Ditamsilkan seumpama api yang bukan hanya membakar orang lain malah lebih cepat membinasakan diri sendiri. Oleh itu, usahlah marah, kawallah ammarah yang ada.

Marah juga dipercayai menjadi punca kepada pelbagai penyakit zahir. Satu kertas kajian yang disediakan oleh penyelidik dari University College London mendapati; lelaki yang mudah meradang dan panas baran besar kemungkinan akan diserang penyakit koronari berbanding mereka yang tidak bersikap demikian. Dan kajian kedua menghasilkan beberapa teori mengenai emosi marah yang diterjemahkan dalam bentuk serangan jantung. Ini disebabkan, golongan yang tidak mampu mengawal marah mengalami kesukaran tidur, kurang mengambil ubat, mempunyai tabiat pemakanan yang tidak sihat, tidak bersenam, dan lebih terdedah kepada ancaman obesiti. Perasaan marah juga akan menyebabkan berlakunya penurunan imunisasi sekaligus menjadikan diri lebih mudah diserang pelbagai penyakit.
Marah juga selalu dikaitkan dengan keganasan. Marah sebagai tanda hilangnya kebahagiaan dan ketenangan. Marah pencetus kepada penceraian, kemurungan malah kemalangan jalan raya juga adakalanya bermula dengan wujudnya perasaan marah. Acapkali kita dengar marah diumpamakan dengan api. Adakah api membawa kepada keburukan semata? Adakah ia tidak diperlukan dalam menjalani kehidupan? Tidakkah hidup perlu diterangi dengan cahaya yang berasal dari api? Bukankah untuk memasak juga perlu kepada api?
Menurut Sheikh Sa’id Hawwa di dalam kitab al-Mustakhlas fi Tazkiyyati al-Anfus, tiada manusia boleh terlepas daripada marah, Rasulullah SAW sendiri  juga pernah marah, bahkan Allah juga turut murka dalam situasi tertentu. Oleh itu, kita mesti memahami bahawa ada marah yang diizinkan oleh Islam dan ada marah yang dilarang. Di sinilah perlunya kepada pertimbangan, sukatan dan kawalan terhadap kemarahan.
Terdapat tiga kategori manusia. Pertama orang yang tercela kerana tiada rasa marah dalam diri. Allah berfirman dalam surah At-Tahriim ayat 9 mafhumnya, Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.” Ayat ini mengajak kita untuk bangun berjihad, tidak dayus terutama apabila berbicara tentang kekejaman terhadap saudara seakidah kita.
Bukanlah yang dikatakan kuat itu dengan hebatnya bergusti, demikian bicara Rasulullah SAW. Sesungguhnya orang yang kuat adalah mereka yang mampu menahan dirinya daripada sifat marah dan tahu mengambil faedah dari kemarahan untuk membina kekuatan.  Siapakah yang dikategorikan sebagai mampu menahan diri dari sifat marah ini? Mereka adalah orang yang marah kerana Allah bukannya marah kerana marah. Itulah perjuangan kita, untuk marah kerana Allah bukannya marah kerana marah yang membawa kepada fitnah. Sewajarnya kita tahu letak duduknya marah. Bak kata Imam as-Syafie "Barangsiapa yang tidak marah ketika dia sepatutnya marah, dia umpama keldai."

Kategori kedua adalah kategori manusia yang melampau dalam marahnya. Ia terjadi ketika mereka marah dengan melanggar pertimbangan akal rasional, melanggar perintah Allah dan melanggar akhlak, adab dan susila ketika melampiaskan marahnya. Dalam isu boikot contohnya, perlu bijak dan berilmu ketika memboikot bukannya dengan emosi, memboikot dengan kekerasan dan menyimpang jauh dari adab kita sebagai umat Islam yang hebat. Diumpamakan jika ingin menghadapi musuh dan menunjukkan marah pada musuh dengan cara terbaik seperti menghadapi anjing yang menyalak, usah berbuat yang sama dengan musuh umpama menyalak kembali padanya kerana ternyata musuh itu bukan guru kita. Banyak lagi cara yang lebih bijak untuk menunjukkan maraknya api kemarahan kita. Elakkan dari merasa bangga dengan kemarahan yang dianggap sebagai kekuatan. Adakalanya perlu memandang kemarahan itu sebagai suatu keabian dan kekurangan.

Oleh itu, ambillah jalan sederhana dalam marah. Marah yang terkawal dan terpimpin; marah yang kena pada tempat dan subjeknya. Jika islam dihina, dipersenda dan hak Allah diperkotak-katikkan; wajib marah. Berbeza situasi jika diri kita dihina, agama menganjurkan kita untuk memaafkan sahaja seperti yang telah termaktub dalam surah Ali-Imran ayat 134 tadi. Selain itu, pilihlah untuk berfikiran rasional walaupun dalam keadaan marah seperti kisah Saidina Ali tidak meneruskan niat membunuh seorang Yahudi hanya kerana dikhuatiri niat membunuh kerana Allah beralih menjadi membunuh kerana marah akibat diludah wajahnya. Perlu bijak menganalisa antara agama dan peribadi dalam melampias marah. Selain marah perlu kena pada tempat dan subjeknya, marah juga perlu kena pada masanya.
Marah mesti diluahkan, orang yang berjaya dalam hidup bukan orang yang tidak marah tetapi orang yang dapat meluahkan marahnya secara konstruktif. Marah usah dipendam khuatir akan wujud dendam. Moga Allah pimpin hati, jiwa, emosi dan pemikiran kita untuk dapat mengawal marah kerana dari situ kita belajar mengawal diri kita. Inilah kejayaan sebenar apabila kita ingin bertempur dengan musuh-musuh Islam. Semoga kita akan ada perjuangan nafas panjang yang berlandaskan hukum Allah berdasarkan syariat. Marahlah kerana Allah.

Norhayati Paradi
Penulis adalah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
13/08/ 2014 / 17 Syawal 1435H














HAMBA YANG BERZIKIR, KHALIFAH YANG BERFIKIR

Rasullullah SAW bersabda mafhumnya, “Berfikir sesaat lebih afdal daripada ibadah setahun....” dan sesungguhnya dengan mengingati Allah menerusi zikrullah jiwa akan menjadi tenang. Gandingan dua elemen zikir dan fikir saling melengkap untuk menyingkap rasa kehambaan kepada Allah Azzawajalla. Alhamdulillah, berada dalam ruangan ini berkongsi intipati bicara al-Fadhil Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm mengajak diri mengenal Ilahi dalam setiap inci yang terpapar di atas muka bumi.

Ustaz Pahrol mengajak kita untuk menjana akal sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam menciptakan langit dan bumi, terbit dan terbenamnya matahari, silih bergantinya siang dan malam serta kejadian manusia itu sendiri menerusi firmanNya dalam surah Al-Zariyat ayat 20-21 mafhumNya
 “…Dan di bumi bukti-bukti kebesaran Allah bagi orang yang yakin. Pada dirimu sendiri tidakkah kamu melihat?”

Menyorot kisah pemuda Gaza di Palestin yang saban hari diserang dan dipersalahkan oleh Yahudi Zionis, dia tidak meminta umat Islam di Negara luar mengangkat senjata berperang dan syahid bersama mereka tetapi hanya meminta didoakanlah untuk dia bertemu syahid dan menjadi satu penghinaan bagi keluarga di Gaza jika dalam satu keluarga tidak memiliki anak yang syahid. Kisah itu sebenarnya mempunyai nuansa dan nada yang sama sebagaimana kisah yang masyhur mengenai dua sahabat ketika berlakunya perang Uhud yang tercetus di bulan Syawal tahun ke-3 hijrah; Saiyidina Saad Bin Abi Waqas, sahabat Rasulullah SAW yang dijamin syurga dengan sepupu Rasulullah SAW iaitu anak kepada Umaimah binti Abdul Mutalib yang bernama Abdullah bin Jahsy.

Kisah yang melambangkan kuasa doa dan menginggati Allah SWT. Ketika mereka berdua berada di suatu tempat yang terpencil, Saad bin Abi Waqas telah berdoa kepada Allah, “ Ya Allah, pertemukan aku dengan musuh yang paling buas dan jahat. Aku akan melawannya dan berikan aku kemenangan.” Manakala, Abdullah bin Jahsy mengaminkan doa tersebut dan turut menambah doa tersebut, “Ya Allah, pertemukan aku dengan musuh yang jahat dan buas. Aku akan melawannya dan gugur di tangannya. Kemudian dia memotong hidung dan telingaku”. Lantas diaminkan oleh Saad bin Abi Waqas.

Ketika peperangan berakhir, ternyata Allah memakbulkan doa Abdullah bin Jahsy. Para sahabat menemui jasadnya gugur sepertimana doanya. Hidung dan telinganya hilang serta tubuhnya digantung dengan seutas tali. SubhanaAllah hebatnya kuasa doa. Dan hebatnya didikan takwa dengan rindu kepada Allah dan tidak ada penyakit di dalam hati yang disebut oleh Rasullullah SAW iaitu al-wahan; cinta dunia dan takut akan kematian. Sekaligus mewujudkan hamba Allah yang berzikir serta khalifah yang berfikir.

Surah Al-Imran ayat 190 dan 191, Allah berfirman yang mana mafhumnya,
 “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal. Iaitu orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk, dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi sambil berkata, “Ya Tuhan kami, Engkau tidak menciptakan ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau! Maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Sesungguhnya dengan berzikir iaitu ingat kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan berfikir tentang apa yang diciptakan Allah merupakan kaedah terbaik membangunkan umat Islam. Melihat alam sebagai alamat atau tanda adanya Pencipta kepada segala keajaiban ini sekaligus membawa kita dekat dengan Allah. Sentiasa merasakan bahawa Allah ada di sisi dalam apa jua posisi dan situasi. Senang dia bersyukur, susah ia bersabar dan jika sakit dia percaya bahawa ianya adalah ujian dan kifarah dari dosanya oleh Allah melalui sakit itu.  Sebagaimana tabahnya Nabi Ayub A.S. dalam mengharungi penyakit kulit kronik yang beliau hadapi tanpa sesekali mengeluh apatahlagi menyalahkan Allah atas ujian tersebut. Umpama ikan dengan air; ikan akan mati tanpa air begitu juga manusia akan mati tanpa zikir.

Menjengah kepada asbabulnuzul diturunkan ayat 190 surah Al-Imran ini, at-Thabarani dan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa orang kafir  Quraisy telah datang kepada orang Yahudi untuk bertanya, “Apakah mukjizat yang dibawa Musa kepada kalian semua?” Mereka menjawab, “Tongkat dan tangannya dilihat putih bercahaya.” Kemudia mereka bertanya kepada kaum Nasrani, “Apakah mukjizat yang dibawa Isa kepada kalian semua?” Mereka menjawab, “Dia dapat menyembuhkan orang buta sejak lahir sehingga dapat melihat, menyembuhkan orang yang berpenyakit sopak dan menghidupkan orang yang sudah mati.” Kemudian mereka datang mengadap nabi SAW dan berkata, “ Hai Muhammad, berdoalah kepada tuhanmu agar gunung Sofa ini menjadi gunung emas.” Lalu Rasullullah SAW pun berdoa maka turunlah ayat 190 Surah Al-Imran ini sebagai petunjuk untuk memerhatikan apa yang telah ada, yang mana akan lebih besar manfaatnya bagi orang yang menggunakan akal fikiran.

Maha Suci Allah yang menjadikan Al-quran mukjizat agung, bukti kenabian buat Rasulullah SAW. Menjadi titipan kasih dan panduan dari Allah SWT buat kita seluruhnya. Dijadikan Al-quran kalam perantara, diwujudnya alam untuk suara yang lebih  mendalam dan pada setiap peristiwa memberi makna yang istimewa. Itulah cara Allah berbicara kepada kita hambaNya. Sesungguhnya Allah mencipta suatu perkara tidak dengan kebetulan tapi Allah mentakdir terjadinya suatu perkara dengan tujuan. Tujuan ini adalah bicara tuhan yang perlu untuk kita faham dan lakukan selari dengan tujuan iaitu ululalbab. Sekali lagi untuk menjadikan umat Muhammad hamba yang berzikir dan khalifah yang berfikir.

Jika direnungkan, betapa tongkat Nabi Musa a.s sudah tiada namun alam ini masih kekal wujudnya. Cuba bayangkan jika bukit Sofa benar-benar menjadi emas pasti sudah tandus di tarah sekali gus menghilangkan bukti kenabian Rasulullah SAW.

Dan di dalam Al-quran juga terdapat 17 ayat yang menyentuh seruan kepada manusia untuk berfikir, tafakkarun dan yatafakkarun. Al-quran menggalakkan kita untuk selalu berfikir kerana dengan berfikir kita akan mencapai apa yang kita tuju dan hajati. Menerusi zikir dan fikir maka kita akan perolehi apa yang kita hajati dalam doa dan harapan kita. Allah berfirman maksudnya, 
“Maka tuhan mereka perkenankan doa mereka dengan firmanNya, "Ses
ungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setangahnya yang lain; maka orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan diusir keluar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan AgamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam),  dan yang terbunuh   (gugur Syahid dalam perang Sabil) sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala di sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).
(Al-Imran ayat 195).
 
Terus panjangkan doa, hindarkan mementingkan diri dalam berdoa. Doa bukan sekadar untuk diri kita tapi berdoalah untuk semua. Moga kita sentiasa dalam ampunan Allah di samping mampu meningkatkan fikir dan memperkasa zikir sebagai bekal sepanjang hayat.

>>Penulis merupakan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Norhayati Paradi
IKIMfm
06 Ogos 2014 / 10 Syawal 1435H



SEMURNI TAKBIR SESUCI TAKDIR DI AIDILFITRI




Ini adalah hasil tulisan pertama saya yang 100% datang dari hati dan diterjemahkan menerusi tulisan. Disiarkan pada 1 Syawal 1435H di akhbar Berita Harian. Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas ilham, terima kasih Suami; Mohd Fazil Ismail yang bantu menyemak dan menambah bernas hasil tulisan ini.
Terima kasih...





Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berhijrah ke Madinah, ada dua hari perayaan yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bertanya: dua hari apakah ini? Jawab mereka: kami bersuka ria pada dua hari ini di zaman Jahiliah. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda mafhumnya;
 “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Riwayat Abu Dawud).

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Laa Ilaaha Illallaah!
Allahu Akbar wa Lillaahilhamd!

1 Syawal 1435H, Aidilfitri kembali bertamu. Mengukur syukur menyingkap rasa bertuhan di hari yang penuh kegirangan menyambut kemenangan. Kejayaan beroleh Ijazah takwa setelah sebulan menduduki peperiksaan Ramadan. Berjaya membersihkan diri kembali kepada fitrah seorang hamba yang bernama manusia dan bukannya hanya menumpang riang gembira insan-insan soleh di akhir zaman ini sahaja.
Allah berfirman menerusi Surah Al-Syams ayat 7 hingga 10 mafhumnya, 
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)”
Setelah sebulan membaja iman mana mungkin hadirnya saat menuai takwa iaitu Syawal menghumban segala usaha tarbiah dengan perkara-perkara yang mencantasnya. Tidak dinafikan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menganjurkan kita berhibur di Aidilfitri ini malah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga pernah menegur Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan katanya : 
"Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" (Riwayat Al-Bukhari). 
Hari ini memang hari untuk kita berhibur dan gembira. Tetapi janganlah pula dengan hiburan yang sekali lagi membuktikan bahawa kita tiada jati diri, tiada identiti dan masih gagal melepaskan diri dari hiburan yang bernama ‘Hedonisma’.

Secantiknya, 1 Syawal dimulakan dengan amalan-amalan sunat seperti mandi sunat hari raya dan menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan Solat Sunat Aidilfitri. Syawal juga lebih indah dengan memperbanyakkan takbir bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir setelah selesainya imam membaca khutbah. Disunatkan bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid seperti yang dinukilkan oleh Ad-Dar Qutni bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat sunat hari raya.

Telah menjadi tradisi amalan umat islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, maaf zahir batin’. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadan) kami dan kamu" sebagaimana disebut dalam sebuah riwayat Al-Baihaqi 
“Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada hari raya  dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka".

Sucinya Syawal dengan syiar takbir membesarkan Allah Pentadbir Alam dan murninya dengan saling mengunjungi, bersilaturrahim dan memberi kemaafan. Moga usaha yang suci dan murni ini tidak merobohkan ‘benting puasa’ yang kita bina hanya dengan melakukan perkara-perkara biasa yang luar biasa dari sudut syariatnya.
    
    Tatkala berziarah ke rumah jiran tetangga, sanak-saudara dan sabahat handai, kita amat dianjurkan untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain bagi menjernihkan hubungan yang keruh, tetapi tidaklah bermakna memohon maaf ialah dengan berjabat tangan antara satu sama lain. Oleh yang demikian, perlu dihindari berjabat tangan antara lelaki dan perempuan ajnabi kerana hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi (bukan muhrim) adalah haram sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nisaa’ ayat 22:
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu (ibu-bu tiri kamu) kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji (di sisi syara’) dan dibenci (oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala) dan adalah seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).
Selain itu, kemeriahan Aidilfitri kebiasaannya menjadi medan fesyen. Apa yang menyedihkan ialah mengenakan fesyen yang sangka sudah menutup aurat tapi hakikatnya tidak. Umpama memakai pakaian yang ketat sehingga menonjolkan bentuk tubuh atau pakaian yang jarang yang menampakkan warna kulit walaupun memakai tudung. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan perkara tersebut dengan bersabda:

Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama)…” (Hadits riwayat Muslim)

Ramadan mendidik kita untuk menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Jadikan Syawal cerminan keberkesanan latih-tubi di madrasah Ramadan. Jagalah silaturrahim dan saling kunjung mengunjungi sebagai kewajipan di Hari Raya. Inilah masanya si kecil mengenal salasilah keluarga mereka. Usah dibiarkan program Televisyen menjadi juadah utama mereka di Hari Raya. Dan pastikan kesibukan berhari raya pula tidak mengganggu rutin pengabdian pada Yang Esa. Aturlah masa sebaiknya.

Sudah semestinya, Syawal 1435H ini jiwa pasti berbelah bagi. Kemeriahan Aidilfitri di tanah air tidak dapat memadam pedih menyaksi dari kejauhan saudara seislam di bumi Gaza. Dipeluk kepiluan misteri  belum terungkai MH370 bertimpa tragedi menyayat hati MH17. Menempa cekal berbekal tarbiah madrasah Ramadan, menyuntik semangat  dalam mehnah qada’ dan qadarNya. Dalam sibuk berhari raya, bekalkan doa buat mereka.

Moga Aidilfitri ini mengukir semurni takbir, bagi menagih sesuci takdir. Salam fitrah Aidilfitri dari kami di IKIMfm; Pilihan Utama Anda.

>>Penulis ialah penyampai dan penerbit rancangan Kanan IKIMfm

Norhayati Paradi
IKIMfm

28 Julai 2014 / 01 Syawal 1435H








Wednesday, 3 September 2014

ROH RAMADAN

Alhamdulillah, atas keizinan Allah yang Maha Tinggi kasih sayang-Nya, sayadiizinkan untuk terus menulis di ruangan ini. Melalui rancangan Islam Itu Indahbersama al-Fadhil Ustaz Pahrol Mohd Juoi pada Rabu lalu jam 10.15 pagi, beliautelah berkongsi ilmu tentang bagaimana memanfaatkan atau menghidupkan Ramadansebagai bekal dalam mengharungi bulan-bulan yang mendatang bersama rohRamadan yang berbekas dalam diri. 
“Ajaibnya masa yang berlalu begitu pantas, lebih ajaib lagi bilamana manusia lalaiuntuk mengisi masa”

Itu ungkapan Imam As-Syafie Rahimahullah bila meninggalkanpesan agar kita tidak cuai dengan usia. Sepantas kerlipan mata, kita sudah melepasipertengahan Ramadan sedang hujungnya semakin nyata menghampiri. Begitupantasnya waktu dan pergerakan hari demi hari menambah angka pada usia.Sering juga usia dikaitkan dengan keberkatan. Keberkatan yang mengalir ke dalamhati akan terpancar pada pancaindera dan akhirnya terzahir dalam tindak tanduk danperlakuan. Sewajarnya kita audit puasa dan Ramadan kita tahun ini. Adakah telahwujud keberkatan di dalamnya? dan bagaimana cara kita mengukurnya?Keberkatan Ramadan dapat di zahirkan melalui tindakan. Ia akan mengarah kepadatindakan-tindakan yang baik dalam membentuk keluarga yang berkat, masyarakatyang berkat dan membawa kepada Negara yang berkat. Melalui keberkatan dunia iniindividu itu inshaAllah akan dapat merasakan dua (2) kebaikan iaitu hasanah duniadan hasanah akhirat. Bukankah ini yang kita rayukan di setiap pengakhiran doa kitaseusai solat iaitu untuk mendapatkan kebaikan dunia dan juga akhirat? Jika diamati, indikator hidup sesuatu jasad terletak pada wujud rohnya; begitu jugauntuk solat yang hidup; petunjuk atau rohnya ada pada khusyu’ dalam menunaikan solat. Kayu ukur roh bagi puasa pula adalah pada keimanan dan pengampunanNya.Allah telah menyatakan jaminanNya melalui Surah al-Mukminun ayat 1-2 yangbemaksud
 “Seseungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang kusyu’ dalam solatnya”.
Ini secara relatifnya membawa maksud bahawa roh solat adalah kusyu’ dan kekusyu’kan seseorang individu di dalam solat adalah kemenangan baginya. Diriwayatkan dari Abu Hurairah R.A., Junjungan Mulia Rasulullah S.A.W pernah bersabda 
“ ..Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu”. 
Itulah petujuk kepada kejayaan ibadah puasa seorang hamba. Dengan puasa; ia boleh meningkatkan keimanan serta menjadi landasan untuk memperoleh keampunan. Dengan kata lain, setiap ibadah dan penyerahan diri pada Allah perlu dilakukan dengan itqan untuk meraih kemenangan seterusnya sebagai lambang keberadaan roh dalam melunaskan sesuatu kewajipan. Apabila roh itu hadir dalam ibadah ianya akan membawa kepada keberkatan dan kebaikan dunia dan akhirat. Begitulah jua dengan puasa, ‘kita bukan baik kerana kita berpuasa, tetapi dengan berpuasa InshaAllah kita akan menjadi baik’. Untuk menjadi baik, nafsu perlu dikekang dengan takwa. Dalam kitab Minhajul Abidin, Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali Rahimahullah mengibaratkan mengekang nafsu umpama menjinakkan kuda liar yang sukar dikawal, merbahaya dan boleh memudaratkan. Strategi melemahkan kuda liar adalah dengan tiga (3) perkara.
Pertama; sekat makan minumnya dan sumber kekuatan nafsu yang lainnya, kedua; bebankan ia, beri tekanan atau deraan yang berat ke atasnya, dan terakhir berikan latihan yang betul supaya kuda itu jinak dan mudah diatur. Dengan cara ini jugalah puasa mengajar kita teknik menundukkan nafsu. Puasa itu sendiri menyekat dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya dan menahan diri dari segala yang mampu merosakkannya yang disebut sebagai ‘siam’. Kemudian kita henyak dan bebankan nafsu dengan solat-solat sunat sebagai bukti hamba yang syukur dan tawaduk iaitu ‘qiam’ dan diakhiri dengan latihan Al-Quran sebagai panduan.

Lihat sahaja pada perintah puasa di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 secara jelas Allahmenyatakan natijah yang diharapkan adalah menjadi manusia yang bertakwa. Dan pada ayat 2 dalam surah yang sama Allah berfirman mafhumnya 
“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya, dan ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa”. 
Jelas bagi membentuk takwa itu jawapannya Al-Quran sebagai panduan, puasa sebagai latihan. 
Buya Hamka ada menyebut “Puasa membebaskan kita dari kebiasaan untuk menjadi insan yang luar biasa”. 


Manakan tidak, dengan berpuasa perkara yang halal juga di haramkan apatah lagi yang sememangnya haram. Semua itu untuk melatih kita lebih mudah meninggalkan yang haram di bulan tanpa puasa. Jika ditamsilkan, ianya diibaratkan pelancong asing yang ingin melawat masjid. Bagi membolehkan mereka melawat ke dalam masjid, mereka perlu memaksa diri menutup aurat tetapi cuba lihat jika semua urusan lawatan selesai, mereka keluar dari masjid dan jubah yang mereka pakai untuk menutup aurat di tinggalkan. Di harap kita terhindar dari mempraktikkan hal seumpama itu iaitu kembali kepada perilaku asal usai Ramadan melabuhkan tirainya. Semua itu akan berlaku jika kita tidak menghayati hadirnya Ramadan dan tidak mengambil peluang menyemadikan ‘roh Ramadan’ ke dalam diri. Orang yang puasa dengan penghayatan, sememangnya luar biasa dan sekali gus mereka itu akan menghidupkan Ramadan untuk terus menjadi manusia luar biasa yang mutaqin yang hidup bersama dengan Penciptanya agar tamatnya Ramadan nanti akan disambut dengan kemenangan. Moga kita dapat ditauliah dan menjadi graduat dari universiti Ramadan dan berjalan di atas muka bumi dengan kelulusan yang di segani oleh makhluk di langit dan juga di bumi dengan kemenangan yang kita perolehi. Kemenangan hanya tertakluk kepada yang berjaya meraih takwa dengan peroleh keberkatan, kasih sayang dan ampunan tuhan. Mari kita bangunkan roh Ramadan, tatkala mampu mengimarahkan masjid untuk 
tarawih, mari langsungkan untuk penuhkan masjid tika sayupnya fajar subuh. Itu lambang kesatuan ummah; ummah yang bukan sekadar punya raga malah terisi jiwanya. Sesungguhnya dengan berpuasa di bulan Ramadan itu bukan suatu hasil tapi satu proses melahirkan hamba yang siangnya siam (berpuasa), malamnya qiam (beribadah sujud pada Ilahi) dan tarbiahnya adalah Al-Quran. Semoga Ramadan 1435H memanggil kembali roh iman ke dalam jasad dihuninya buat bekal peroleh keberkatan untuk hidup di usia yang selanjutnya. Selamat menjalani ibadah puasa.

Tarbiah Ramadan di IKIMfm; Pilihan Utama Anda. 

Norhayati Paradi
Penerbit IKIMfm
14 Julai 2014

PUASA YANG BERMAKNA

Setiap yang tercipta punya tujuan dan tiap yang disyariatkan punya matlamat. Segalanya untuk menjadikan khalifah itu hamba Allah yang berfikir.
 
Komposisi lautan pada mata si marhain mungkin hanyalah ombak, buih dan sampah sarap yang terapung di permukaannya. Pada mata si nelayan; ianya adalah lubuk rezeki mereka di mana khazanah laut bersemayam di dalamnya. Pada penjejak mutiara; mereka menerobos terus melihat mutiara dalam tiram di dasar lautan. Jurutera petroleum pula melihat lautan dengan apa yang ada di perut laut iaitu emas hitamnya. Maha Suci Allah, sesungguhnya benarlah pepatah inggeris ada menyebut what you see is what you get jadi di sinilah peripentingnya melihat sesuatu dengan pandangan yang sebenar, betul dan tepat.
 
Demikian juga bila menyentuh tentang perkataan puasa yang dipercayai berasal dari bahasa Sanskrit iaitu upavāsa (उपवास) yang pada asasnya bermaksud mendekati Tuhan. Puasa dalam konteks kita sebagai muslim antara lain membawa maksud menahan diri daripada makan, minum dan sifat-sifat yang buruk demi untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan kemuncak kepada puasa itu adalah untuk mencapai takwa. Jadi, adakah puasa yang telah kita tempuh beberapa hari ini sudah memberi bayang-bayang buah takwa yang kita dambakan?
 
Jelas menurut Tafsir Ath-Thabary, menerusi Surah Al-Baqarah ayat 183 Allah berfirman,
 “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.
Oleh itu, ambil masa sejenak, dikurniakan usia untuk sampai di bulan Ramadan yang dinantikan dengan penuh keterujaan, persiapan dengan doa dilabuhkan seawal Rejab dan Syaaban, adakah setiap masa yang berlalu dimanfaatkan? Rezeki sudah ditangan adakah mahu dilepas dari genggaman? Semoga Ramadan kali ini kita peroleh puasa sebenar bukannya puasa tersasar.
 
Perlu diingat, menjalani ibadah puasa bukan sebagai adat dan kebiasaan. Ambil peluang puasa yang sangat hampir dengan sifat hamba kepada tuan sebagai lubuk mendapatkan keampunan bukan ditinggalkan dengan kempunan. Bukankah pengampunan Allah itu lebih luas dari dosa kita? Jadi lakukanlah.
 
Ramadan adalah medan menundukkan nafsu, meningkatkan iman dan berusaha dengan penuh harap untuk mendapatkan keampunan tuhan. Dengan berpuasa menjadi bekalan orang beriman dan menjadi perisai agar tidak terjebak dalam jurang maksiat dan kejahatan. Orang yang mendapat keampunan di bulan Ramadan adalah mereka yang digambarkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis riwayat Bukhari,
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”
 
Indahnya Ramadan dan lebih indah lagi kasih sayang Allah menerusi bulan ini. Semoga usaha menegah diri dan membanyakkan amal soleh menjadi penyebab untuk mendapat keampunan dari Allah dibulan yang Allah menawarkan pengampunanNya. 
 
 
Dengan berpuasa juga bukan sahaja mendidik diri punya simpati malah empati untuk melebur individualistik dan egoistik. Maha Penyayang dan Maha Adilnya Allah tanpa menyampingkan walau seorang hambaNya pun dalam merasai nikmat rahmat kasihNya. Si fakir dan miskin ditarbiah setelah lali dengan kelaparan. Rutin meninggalkan makan dan minum kerana kemiskinan berubah menjadi meninggalkan makan dan minum kerana Allah. Berbeza bagi Si kaya, tatkala Ramadan berkunjung, mereka berlapang dada meninggalkan makan dan minum walau mampu mendapatkannya dengan semudah kata. Semua dilakukan kerana Allah. Sebagai tanda kasih Allah buat  mereka yang sanggup lakukan semua kerana Allah, Allah berikan identiti baru buat mereka iaitu Si miskin yang sabar dan Si kaya yang bersyukur. Dan semua itu mendorong jalan kepada takwa.
  
Sesungguhnya Allah tidak mendapat walau sebesar zarah manfaat pun dari ibadah puasa kita. Malah ketaatan kita tidak akan pernah menambahkan keagungganNya, 
apatah lagi kederhakaan kita tidak sekelumit pun mengurangkan keagunggan yang Maha Kuasa. Manfaat ketaatan dan mudarat larangan Allah adalah untuk kita; hambaNya. Berpuasalah dengan puasa yang sebenar yang akhirnya memberi kesan takwa dalam hati dan diri kita. Lihatlah puasa dan Ramadan dari sudut pandang Allah bukan sekadar pandangan mata kasar kita. Padamkan persepsi salah kita tentang puasa agar ia tidak terus menjadi budaya dan inshaAllah jika pemikiran kita betul, maka akan hadir yang betul dalam kehidupan kita. Selamat menjalani ibadah puasa dan meraih puasa yang bermakna.


Norhayati Paradi
IKIM fm
8 Julai 2014