Wednesday, 10 September 2014

MEMBERI KEBAIKAN YANG TERBAIK


Rasulullah SAW mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah mafhumnya, 
“Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti.” (Riwayat al-Baihaqi)
Pekerjaan adalah proses, wadah dan kaedah untuk beri kebaikan kepada orang lain. Bukan sekadar mendapat laba tetapi gudang memperoleh pahala. Bukan semata makan gaji tetapi menghadam sebanyaknya kebaikan dan reda Ilahi.
Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengajak kita melihat pekerjaan dari perspektif Islam yang kaya dengan kebaikan dan punya kaitan dengan tujuan kehidupan menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm; Rabu lalu. Pegang kata kunci “Beri kebaikan yang terbaik jika ingin menjadi baik” untuk membezakan pekerjaan manusia dengan mahluk Allah yang lain mahupun meletakkan beza pekerjaan umat Islam dengan yang belum beragama Islam.
Menyorot kehidupan sebagai hamba Allah SWT juga khalifah di atas muka bumi diberi tanggungjawab bekerja sebagai salah satu cabang ujian dan menjadi kewajipan untuk ‘menang’ dalam menyahut ujian tersebut. Caranya dengan melaksanakan perkerjaan pada tahap ‘terbaik’ sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Mulk ayat dua mafhumNya, “Dialah yang mencipta mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)”.
Bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Mukmin Profesional 2012

Dalam gelanggang yang bernama pekerjaan serba serbi bakal diuji. Kompetensi diuji, kesungguhan diuji, kecekapan diuji, keikhlasan diuji dan akhlak juga tidak terlepas dari diuji. Setiap ujian menjadi kayu penanda keperibadian seseorang mukmin.
Allah berfirman di dalam Surah al-Qasas ayat 26 mafhumnya, “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” Perlu menggabungkan ciri-ciri dari sudut al-quwwah;  iaitu kekuatan serta kemampuan bukan sekadar fizikal tetapi juga ilmu dan kemahiran dan al-amanah; punya amanah, ketelusan serta kasih sayang dalam melaksanakan tugasan. Inilah sifat umat Islam dalam bekerja. Ada gabungan kepakaran juga keimanan, ada cantuman integriti dan kompitansi. InsyaAllah segala yang direncana menjadi dan diberkati.
Melakukan kerja dengan acuan Allah bukan terapan manusia akan melahirkan pekerja yang punya prestasi kerja yang tinggi. Terdapat tiga (3) elemen sebagai neraca kerja yang terbaik. Pertama; capai kualiti denganinput yang sedikit menghasilkan output yang banyak, kedua; kuantiti yang lebih baik dan ketiga; akhlak, etika serta adab yang terpuji yang membangun jati diri, sahsiah dan peribadi seorang mukmin.
Menelusuri cara kerja yang dipamerkan oleh Imam Malik rahimahullah ketika menyuarakan pendapat untuk menulis Kitab Muwatta’ dan dipertikaikan oleh orang lain kerana ketika itu sudah ada Kitab Muwatta’ yang ditulis oleh orang-orang terdahulu, jadi apakah perbezaan pada hasil tangan Imam Malik? Lalu Imam Malik rahimahullah menegaskan perbezaan terletak pada keikhlasan dan keikhlasan itu akan berkekalan.
Imam Malik rahimahullah telah menulis dengan ikhlas dan mengharap reda Allah SWT sehinggakan beliau menyaring tiga ribu daripada sepuluh ribu hadis dalam menghasilkan Kitab Muwatta’ karangan beliau. Beliau begitu teliti dan hanya inginkan yang terbaik. Sebagai ganjaran ketelitian, kesungguhan dan curahan ilmu yang terbaik itu, sehingga hari ini jika menyebut Kitab Muwatta’ hanya terbayang Kitab Muwatta’ milik Imam Malik rahimahullah dan terpadam kitab-kitab muwatta’ yang terdahulu sebelum beliau. Hebatnya keikhlasan yang akhirnya melahirkan ketelitian dan kesungguhan. Rasullullah SAW pernah menyatakan bahawa Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh.
Bukan suatu yang mudah untuk melakukan kebaikan. Terkadang setiap kebaikan yang dilakukan perlu kepada perlindungan dari tempias kata-kata yang mengecewakan. Allah SWT mengingatkan bahawa kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hambaNya dan ia adalah sunnatullah. Bukankah syurga itu dipagari dugaan dan ujian sedang neraka dipagari kesenangan serta kenikmatan? Sedangkan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia juga diuji apatah lagi kita manusia biasa yang selayaknya diuji.
Jika ada suara mengkritik perbuatan baik kita, Ustaz Pahrol menasihatkan agar kita katakan kembali bahawa perbuatan atau kerja baik kita bukan bererti kita sudah menjadi baik, tetapi itu sahaja usaha kita untuk menjadi orang yang baik. Dan jika ditanya adakah kita sudah baik? Usah yakin bahawa kita sudah jadi baik tetapi jawablah dengan yakin bahawa kita sedang dalam usaha menjadi baik dengan melakukan kebaikan dengan kebaikan yang terbaik.
Walau apa jua kekangan, lakukanlah kebaikkan dengan sehabis baik dan penuh kesungguhan serta iltizam kerana ia sangat berkait rapat dengan iman dan cara meraih reda serta cinta Allah SWT. Dr. Yusof Qardawi mengatakan bahawa dalam usaha meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti pengeluaran, tiada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya selain dari iman. Ini akan melahirkan pekerja  yang selari dengan falsafah Islam. Malah etika dan profesionalisme Islam meletakkan kesetiaan kepada Allah SWT dan rasulNya mengatasi segala-gala nilai yang wujud dalam sesuatu sistem atau budaya.
Sebagaimana hadis di awal perkongian tadi berkenaan kesungguhan dan ketelitian, Allah SWT sangat menyukai hambaNya yang itqan dan mengelokkan kerjanya. Kerja yang bersungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan taqwa, ketulusan hati, keluhuran budi dan kemuliaan akhlak yang semua sifat-sifat ini akan dikira oleh Allah SWT dalam menentukan amal hambaNya diterima atau sebaliknya. Seiring pelaksanaan kerja yang baik, prinsip kesempurnaan juga sangat menitikberatkan elemen ikhlas. Semoga dicampakkan ikhlas ke dalam hati kita sewaktu melaksanakannya. InshaAllah.
Jawatan, kerja, tugas atau apa jua profesyen yang kita pegang bukan suatu kebanggaan yang boleh kita gunakan sebagai suatu alat untuk mencapai cita-cita dunia tetapi ia merupakan suatu amanah yang wajib ditunaikan dengan cara yang sempurna. Mudah-mudahan kerja yang kita lakukan itu bukan sahaja membawa faedah duniawi tetapi juga manfaat ukhrawi sebagai suatu bentuk ubudiyyah kita kepada Allah SWT .
Islam bukan sekadar mendidik kita untuk memberi kebaikan, malah menuntut kita menghulur kebaikan yang terbaik. Lakukan kerja tidak cukup dengan buat kerja yang betul tapi laksanakan dengan betul-betul. Sesungguhnya kerja itu untuk dijalani, dinikmati dan disyukuri, semoga kita dapat lakukan kerja kita dengan sepenuh hati, penuh kasih sayang dan dilaksana dengan yang TERBAIK.
CaHayati
Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
15 Zulkaedah 1435H / 10 September 2014





Bersama Penulis dan pemilik kisah Nourah; Wanita kuat dan kental

Bersama Dr Mohd Farid Mohd Shahran

Menjadi Moderator Forum Fiqh Wanita
bersama Ustazah Norhafiza, Dato' Siti Norbayah dan
sis Oki Satriana Dewi; Bila Cinta Bertasbih
Bersama Ustaz Ebit Lew; Islam Agamaku

Bersama Ustaz Syaari Abdul Rahman; Ibrah



Bersama Prof Muhaya; Islam Itu Indah

Bersama Maher Zain






Di Kemboja bersama Qhaleesha (Dalam kandungan)

Friday, 5 September 2014

TIDAK DI KETAHUI TAPI PASTI

“Andai ku tahu
 Kapan tiba ajalku
 Ku akan memohon
 Tuhan tolong panjangkan umurku…”

Lirik yang acapkali ke udara di tetuang suara IKIMfm menjadi tema perkongsian minggu lalu menerusi Islam Itu Indah perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi membawa peringatan bahawa kematian itu pasti tapi waktunya masih misteri. Menjentik hati cukupkah amal buat bekal di alam yang kekal? Sudahkah nikmat di guna untuk taat dalam mengecap hidup yang berkat?

Ujian datang silih berganti selagi belum tiba yang bernama ‘mati’. Seiring musibah,  datangnya bersama hikmah. Sememangnya ujian itu pahit, terimalah dengan jiwa pasrah beserta hati yang berpegang teguh dengan tauhid. Pesan Ustaz Pahrol lagi, Hakikat sebenar musibah apabila kita jauh daripada Allah SWT, Allah bawa kita kembali dekat denganNya untuk meraih jannah dengan memudarkan sombong, pemarah, hasad, cinta dunia. Sifat mazmumah akan ditekan dengan ingatan kepada kematian yang merupakan pemutus kepada kelazatan dunia.

Musibah juga adalah saluran untuk merintih dan munajat pada Allah SWT ketika kita leka padaNya. Suatu paksaan untuk dekat denganNya. Dan hikmah terbaik di balik musibah adalah lahirnya manusia yang bijaksana dengan menginggati mati dan membuat persiapan untuk kehidupan selepas mati.

Jelas ajal tidak ditangguh kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 34 mafhumnya, 
“Maka apabila ajal sudah datang, mereka tidak dapat menangguhnya (walaupun) satu detik dan tidak juga dapat mendahulukannya.”

Firman-Nya lagi dalam surah al-Munafiqun ayat 11 mafhumnya 
“Allah tidak akan menangguh kematian sesuatu yang bernyawa (sama ada manusia atau lainnya) apabila ajalnya sampai”.

Bertuah bagi manusia yang terpilih untuk mengetahui waktu kematiannya seperti berpenyakit kronik, menerima hukuman mati dan sebagainya kerana mereka boleh membuat persiapan dan persediaan sebaiknya. Berkemungkinan juga tempoh masa yang diperuntukan lebih pendek di sisi ketetapan tuhan Yang Maha Berkuasa. Usia sememangnya ketentuan tuhan yang dirahsiakan tetapi masih ada usaha dari kita untuk panjangkan usia kita. Panjangkan usia dengan memanjangkan kuantiti masa pada usia, usahakan juga untuk memanjangkan kualiti usia dan panjangkan amal jariah dengan malan yang terus hidup walaupun kita telah tiada.

Dengan bermodalkan harta, ilmu, akhlak, keperibadian, agama, tenaga dan masa; usia mampu dipanjangkan. ‘Panjang umur’ bermaksud kekalnya sebutan dan pujian yang baik selepas kematian seseorang seolah-olah dia masih hidup.

Jika perhatikan dalam beberapa keterangan nabi SAW, umur boleh panjang dengan sebab doa, silaturrahim, berbuat baik dengan ibu bapa, jiran tetangga dan juga semua jenis amal kebajikan. Antaranya ialah berkaitan silaturrahim seperti yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa dia mendengar nabi SAW bersabda mafhumnya
 “Barangsiapa yang suka dibentangkan baginya rezekinya dan dilewatkan ajalnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.” (Riwayat al-Bukhari).

Kualiti usia boleh diperolehi menerusi amalan solat secara berjamaah sepertimana sabda Rasullullah SAW daripada Abdullah bin Umar RA mafhumnya, “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda.”. Itu yang membezakan kualiti umur hamba Allah berusia 40 tahun yang menghabiskan usianya dengan solat bersendirian dengan hamba Allah yang berusia 20 tahun yang istiqomah menunaikan solat secara berjamaah. Selain itu, dengan solat berjamaah di masjid setiap langkah menuju ke masjid meningkatkan darjat dan langkah pulang dari masjid akan menghapuskan dosa. Diriwayatkan daripada Muslim daripada Uthman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, 
Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim). 
Bertambah hebat jika di sulami solat sunat di rumah sebelum melangkah ke masjid.

Petua panjang usia juga dengan panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa di samping mengamalkan adab-adab dalam islam. Siapa tidak kenal Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya. Imam Safie, Imam Ghazali tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad. Contoh lain Umar ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya. Itu pencen kubur, saham akhirat; walaupun jasad sudah tiada namun amalan masih hidup dan berterusan.

Beruntunglah pada mereka yang bergelar guru, pendidik mahupun murabbi kerana mereka adalah lagesi penyambung tugas Rasullullah SAW. Mereka peroleh kebaikan ilmu yang dimanfaatkan, doa anak soleh dan amal jariah yang berpanjangan yang datang sebagai pakej bersama anak didik yang diberinya tunjuk ajar.

Selain itu, rahsia kejayaan orang-orang yang ‘panjang’ umur adalah dengan banyaknya bersedekah. Mereka tahu tujuan hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan. Sesungguhnya dunia akan sentiasa menyediakan jalan kepada orang seumpama ini. Harta yang dimiliki usah disimpan, dan harta yang salurkan ke jalan Allah SWT berupa sedekah juga berupaya melipat gandakan usaha  amalan. Harta yang menjadi milik sebenar kita adalah yang dikeluarkan di jalan Allah dan harta yang  disimpan itu milik orang lain selepas ketiadaan kita.

Rasulullah SAW menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera)

Bersedekahlah walau hanya sebelah kurma kerana ia lebih bernilai dari bergedung-gedung harta.
Umar Ibn Aziz yang pernah mengungkapkan, “mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi iaitu alam akhirat. Manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!” 


Justru, 
Hidupkanlah hidup selagi hidup sebelum mati menjemput kita.

Sesungguhnya mati itu tidak diketahui tapi pasti. Kematian akan melenyapkan seluruh kenikmatan, bersiap sedialah menghadapi kematian yang pasti akan hadir. Biarlah ‘kematian’ itu hidup dalam diri kita kerana ingat mati akan ‘menghidupkan’ kita.

Orang yang ingat mati akan menyegerakan taubat sebelum terlambat. Saya akhirkan inti pati perkongsian Islam Itu Indah dengan lirik akhir lagu di awal penulisan tadi.

“Ampuni aku,
 Dari segala dosa-dosaku,
 Ampuni aku,
 Menangisku bertobat padamu.”    

- Andaiku tahu - Ungu


Norhayati Paradi
Penulis ialah Penyampai dan  Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

03/09/2014 / 08 Zulkaedah 1435H

TUHAN PANJANGKAN UMURKU

“Manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian dating secara mendadak.”

Titipan pesana Saidinia Ali bin Abi Talib r.a ini saya kongsikan sebagai mukadimah perkongsian intipati Islam Itu Indah oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu yang bersiaran setiap Rabu jam 10.15 pagi di radio IKIMfm. Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya apabila seseorang itu mati kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat  ‘melihat’ hidup dengan jelas dan tepat.

Ironinya, saban hari bangun dari tidur doa di panjangkan tanda syukur dikurnia sehari lagi usia. Diberi usia bererti dikurnia peluang, kesempatan dan harapan.Bagi yang taat, hidup merupakan peluang, kesempatan dan harapan untuk mencambah lebih banyak ketaatan. Meninjam semangat para Hukama “Buat baik sehingga letih buat maksiat”. Sesungguhnya berbuat baik itu tiada penghujung.

Buat pendosa dan yang berbuat maksiat, kesempatan hidup sebagai peluang untuk mengaku kesalah dan bertaubat. Allah terus beri hidup pada yang berdosa, bukan untuk menambah dosa tapi hakikatnya itulah peluang untuk bertaubat dari dosa-dosa yang telah dilakukan. Maha Suci Allah, usia yang Allah berikan pada kita sebenarnya satu rahmat bukan sahaja pada mereka yang taat tetapi juga buat meraka yang dalam maksiat.


Al-Quran menerusi Surah Al-Hajj ayat 47 Allah berfirman mafhumNya 
Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.”
Ayuh kita rehat seketika, sambil merenung sambil mengira. Sebagai perbandingan, 1 hari di akhirata dalah bersamaan dengan 1000 tahun di dunia. Ini bermakna jika usia kita seperti junjungan mulia Nabi Muhammad SAW iaitu 63 tahun, maka ia bersamaan dengan satu jam setengah sahaja hidup di akhirat.

Dengan pengiraan ringkas itu terasa hidup ini terlalu singkat. Allah menggingatkan kita menerusi Surah Yunus ayat 45 mafhumNya 
Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari sianghari. Mereka akan berkenal-kenalan sesame sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (kejalan mencari untung semasa hidup di dunia).”

Sungguh tepat seperti yang dinukilkan Imam As-syafie tentang keanehan melihat masa yang berlalu terlalu laju tetapi lebih aneh lagi melihat manusia yang melalaikannya.

Melihat kepada kehidupan, ia umpama memasuki dewan peperiksaan. Segala macam perasaan hadir sebelum, semasa dan selepas peperiksaan berlangsung. Rasa gusar berbaur resah bercampur gentar menjadikan diri terus waspada, hati-hati dan sifat mencuba yang tidak pernah kenal erti kalah dan mengalah hadir dengan latih tubi yang jitu dan padu. Dengan hanya berbekalkan satu jam setengah segala usaha dicurah untuk menjawab soalan-soalan yang dating daripada Allah berupa ujian kehidupan.

Hanya yang membezakan adalah kertas soalan peperiksaan di dewan peperiksaan adalah sama untuk semua calon peperiksaan dengan peruntukan masa yang sama dan telah di tetapkan. Manakala kertas ujian milik Allah ini miliki soalan yang berbeza. Ada kertas ujian kesakitan, kaya, miskin, lambat jodoh, suami atau isteri curang dan sebagainya. Masa yang diperuntukan juga berbeza antara seorang dengan yang lain. Panjang atau singkatnya masa ujian, sukar mahupun mudah kertas ujian yang diberikan manfaatkanlah sebaiknya untuk Berjaya dengan cemerlang.



Imam Al-Ghazali menerusi Ihya' 'Ulumiddin menyatakan bahawa nantinya akan ada orang yang menyesal bukan sahaja kerana masa itu di isi dengan dosa, tetapi masa yang tidak diisi dengan apa-apa pun bakal menjadi penyesalan yang amat sangat. Dibayangkan umpama kotak-kotak masa yang akan hadir ketika di padang mahsyar. Apabila kita membuka kotak masa yang pertama penuh dengan pahala. Alhamdulillah, pastinya itu yang diidam dan didambakan membuat hati menjadi lapang. Akan menjadi dukacita, jika satu kotak yang hadir penuh dengan dosa kita, Nauzubilla. Sudah pasti kita akan menyesal tidak terhingga. Dan bayangkan, jika satu lagi kotak adalah kotak kosong, itupun menurut Imam Al-Ghazali akan dikesalkan oleh kita.


“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu), “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami kedunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.(Surah As-Sajadah ayat 12). 
Penyesalan yang amat besar bagi penghuni akhirat sehinggakan jika di beri peluang dan ruang untuk kembali ke dunia mereka akan manfaatkannya walau berkesempatan untuk mengungkapkan SubhanaAllah. Di akhirat kelak kita akan diperlihatkan kehebatan SubhanaAllah sahaja sudah sebesar Bukit Uhud. Dan jika kita mampu melihat kehebatan itu sekarang sudah pasti bibir kita tidak lekang dari bertasbih tanpa ada sesaat pun yang akan dibazirkan.

Orang tua berpesan, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Keyakinan pada waktu itu sudah terlambat dan tidak member apa-apa kesan kerana sesungguhnya nikmat hidup hanya akan dinikmati apabila kita mati kelak. Jadi bersiaplah untuk akhirat kita ketka di dunia ini. Hidup di dunia untuk akhirat.





 
Para hukama mengatakan perjalanan menuju kematian telah bermula sebaik sahaja kita dilahirkan. Hari ini dan hari-hari seterusnya hanya sisa umur sahaja. Manfaatkan sisa umur kita bukan sekadar kerja keras tetapi kerja cerdas. Wujudkan kesedaran untuk kita manfaatkan masa yang bersisa dengan memanjangkan amal kita dari modal usia yang Allah berikan seoptimumnya.

Ingatlah, orang yang hebat dalam masa satu jam dia dapat menghasilkan banyak pahala, tetapi orang yang malang dalam kehidupan yang panjang sedikit pahala pun tidak diperoleh kerana sifat yang di namakan lalai. Moga kita semua terhindar dari sifat lalai ini. InshaAllah.



Norhayati Paradi
Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
27 Ogos 2014 / 01 Zulkaedah 1435H









KEKUATAN UMAT SETEGUH SUBUH

“Ya Allah berikanlah cahaya pada hati, lisan, telinga dan mata hamba. Jadikanlah cahaya dari belakang, depan dan di bawah hamba, dan sebelah kanan dan kiri hamba berikanlah cahaya. Ya Allah berikanlah kepada hamba cahaya,”
doa rutin Rasullullah SAW ketika hendak keluar melaksanakan solat subuh seperti yang telah diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a.

Permintaan indah yang cukup hebat dari seorang hamba Allah yang hebat kepada Penciptanya Yang Maha Hebat ini saya jadikan sebagai mukadimah intipati perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm pada pagi Rabu yang lalu.

Maha Suci Allah yang telah menjadikan keindahan subuh bukan sekadar pada cantiknya suasana, lembutnya udara tetapi juga pada kekuatan roh yang tiada tandingannya.Tatkala kita masih dalam semangat jihad memboikot hasil tangan dan fikir zionis, kita masih canggung memboikot kelakuan dan cara hidup mereka yang tumbuhmendarah daging.Hidonisme, hasaddengki, degil, zalim dan segala macam perbuatan mazmumah bersarang dalam diri.Apakah natijah yang bakal terhasil, jika kita masih lemah pada ketika musuh sudah lemah; mampukah kita mengatasi mereka yang lumpuh tidak berdaya dalam keadaan kita tiada tenaga?Inilah masa yang terbaik untuk kita bina kekuatan, menjana tenaga bagi menegak kebenaran.

Rasullullah SAW bersabda mafhumnya, 
"Sebaik-baik manusia adalah orang-orang yang hidup pada zamanku (generasiku) kemudian orang-orang setelah mereka kemudian orang-orang setelah mereka.”.
Tahukah kita antara kualiti yang dimiliki manusia pada waktu itu?Salah satu cirinya adalah mereka sangat mementingkan waktu subuh dan solat subuh.Mereka faham besarnya ganjaran yang bakalAllah berikan pada hari kiamat buat mereka yang mengutamakan waktu dan solat subuh sepertimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya, 
Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di Akhirat kelak.
(Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).Secara jelas menerusi hadis ini, mereka yang berjihad bagi menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid bakal memperoleh ganjaran dari Allah berupa ‘cahaya’ sempurna yang pasti didambakan oleh semua terutama dalam melalui ujian padang mahsyar yang penuh huru-hara. Cahaya itu juga hadir di dunia; hadir pada mereka yang hatinya terpaut kepada masjid.  Di zaman kemungkaran bermaharajalela, maksiat mendominasi dan amanah dipegang oleh mereka yang tiada hak atasnya, kita bukan sekadar keliru malah ‘buta’ pada kebenaran sebenar disebabkan kemungkaran yang sudah menjadi seakan budaya dan cara hidup. Kegelapan sebenilah yang memerlukan cahaya sebagai penunjuk jalan, walaupun jahiliyah kedua sedang berleluasa, namun melalui cahaya yang dikurniakan, dengan Izin Allah dapat kita  membezakan yang hak dan yang batil serta tahu tindakan yang dapat menyelamatkan diri dari terjerumus ke jurang maksiat dan dosa. Itulah antara kehebatan subuh yang memberikan cahaya kepada hati kita di dunia dan akhirat.

Selain itu, solat subuh juga boleh menjadi penanda aras kepada kecemerlangan umat. Telah bersabda Rasulullah SAW,
"Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isya dan solat subuh" (Hadis riwayat Ahmad).
 Dalam satu kisah yang sangat masyhur ketika pemerintahan Saidina Umar al-Khattab r.a sebagai khalifah,pada suatu hari Saidina Umar al-Khattab r.a telah mendapati Sulaiman bin Abi Hathmah tidak hadir untuk menunaikan solat subuh berjemaah. Pada pagi itu juga beliau menyongsong ke rumah sahabatnya itu lalu bertanya kepada ibunya al-Shifa', “Saya tidak melihat Sulaiman semasa solat subuh?”.  Lalu al-Shifa' menjawab, “Dia solat malam lalu tertidur pada pagi harinya."Kemudian Saidina Umar berkata “Sungguh, berjemaah dalam solat subuh itu lebih baik bagi ku daripada solat malam."
Begitu teguhnya iman pada zaman itu, sehinggakan ucapan takziah akan diberikan kepada sahabat yang tidak bersolat subuh.

Dr Raghib As-Sirjani dalam bukunya Misteri Solat Subuh menulis tentang seorang penguasa Yahudi berkata, “Kami takut kalau bilangan umat Islam melaksanakan solat subuh berjamaah menyamai atau melebihiumat islam melaksanakan solat Jumaat.” Inilah sebaik-baik demonstrasi untuk menunjukkan kebencian terhadap zionis dengan bangun solat Subuh berjamaah.Inilah peperangan sebenar kita, bukan mudah untuk bangun dari tidur, bersuci dan kemudian bergerak menuju ke masjid bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah.  Bayangkan, seseorang terpaksa berperang dengan gejolak nafsu dan godaan syaitan sejak awal-awal lagi bagi mematuhi perintah Allah.  Peperangan dalam diri itu diperjelaskan oleh Junjungan Muliamelalui hadis yang mafhumnya, 
“Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: ‘Nikmatilah malam yang panjang ini.’  Apabila dia bangun lalu mengingati Allah,  maka terlepaslah lilitan itu.  Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan yang kedua.  Kemudian apabila ia solat, lepaslah lilitan ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat.  Tetapi kalau tidak, dia akan terbawa lembap dan malas.” 
(Hadis riwayat al-Bukahri dan Muslim)

Waktu subuh juga adalah waktu yang melimpah ruah kebaikannya.Mari kita ambil iktibar kegemilangan zaman yang paling berjaya iaitu zaman Rasullullah SAW.Rasulullah s.a.w. sangat mengutamakan keberkatan pada waktu Subuh.  Baginda telah berdoa, mafhumnya, “Ya Allah berkati umatku pada waktu pagi.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Rasulullah SAW memilih waktu awal pagi untuk menghantar utusan dakwahnya. Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada al-Nu'man bin Muqarrin bahawa Rasulullah SAWakan menunggu matahari terbit sebelum memulakan pertempuran.  Beliau menjelaskan, “Aku turut bertempur bersama Rasulullah SAW.  Ketika fajar menyingsing, Baginda menahan tenteranya sehingga terbit matahari.  Saat matahari terbit, Baginda mengarahkan untuk bertempur."

Dengan keberkatan waktu Subuh dan doa yang dipanjatkan selepas solat Subuh, itulah dua ‘tiupan kemenangan’ yang membina keyakinan tentera Islam apabila berdepan dengan musuh-musuhnya.  Menerusi perang Badar, Anas bin Malik meriwayatkan, “Pada waktu perang Badar, Rasulullah SAW solat Subuh pada awal fajar,  kedudukan Baginda pada saat itu sangat hampir dengan musuh. Sejurus Subuh, Baginda memerangi mereka.” (Hadis Riwayat al-Nasa'i).

Justeru, Allah telah bersumpah dengan kuda-kuda yang digunakan dalam jihad di jalan Allah pada waktu Subuh.  Allah berfirman mafhumnya, 
“Demi kuda perang yang berlari kencang dengan terengah-engah, dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan kuku kakinya dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba pada waktu subuh.”(Surah al-'Adiyat ayat 1-3).


Ironinya, orang bukan Islam banyak memanfaatkan waktu awal pagi yang sangat optimum ini. Seperti yang dinukilkan oleh Dr Raghib al-Sirjani menerusi pemerhatiannya di Amerika. Sewaktu pergi dan pulang dari masjid setelah solat Subuh, orang Kristian, Yahudi dan Ateis; mereka bangun pagi untuk kehidupan dunia, bersamaan waktu solat subuh.  Hajat kemanusiaan mampu mendorong mereka untuk bangun pagi.  Namun mengapa seorang Mukmin tidak mahu mengerah segenap potensinya untuk menyamai mereka bangun pada waktu pagi? Berbezaketika bermusafir negara umat Islam di Timur Tengah,kehidupan beku dan kaku seusai solat Subuh., segala aktiviti masih belum bermula sebaik sahaja selepas waktu Subuh.  Ini realiti yang sangat menyedihkan.  Di negara kita juga keadaan yang sama boleh dilihat.  Jumlah umat Islam yang bergerak menuju ke masjid untuk solat Subuh berjemaah sangat sedikit berbanding jumlah orang bukan Islam yang bangun awal dan berpusu-pusu untuk berjoging, bersenam dan membawa anjing mereka berjalan-jalan pada awal pagi. Bayangkan, kerana cinta akan anjing, mendorong pemiliknya untuk bangun pagi, sedangkan cinta akan Allah tidak mendorong hambaNya untuk bangun pagi.
     
Realitinya, umat Islam kini semakin lupa tentang apa yang pernah dikatakan oleh Saidina Umar al-Khatab, “Hakikatnya kita tentera Islam dimenangkan Allah kerena dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera kafir, tetapi sekiranya kita turut berdosa sama dengan mereka, di manakah kekuatan kita?

Inilah masa terbaik untuk kita yakin dengan kehebatan waktu subuh, yang padanya cahaya matahari belum bersinar tetapi cahaya hidayah Allah telah memancar.Teruslah menjadi Pejuang Subuh dan Raihlah kemenangan dariNya.


Norhayati Paradi
IKIMfm

20 Ogos 2014 / 24 Syawal 1435H

Thursday, 4 September 2014

BUKAN KERANA MARAH

Orang lama pernah berpesan; berbuat sesuatu hendaklah sesuai dengan tempat dan keadaan, supaya perbuatan itu berhasil dengan baik. Perlu adil dalam menyelaras perasaan. Menyingkap perihal memboikot produk keluaran zionis dan sekutunya yang kembali menjadi topik utama dunia, ianya boleh difahami sebagai tamsilan kepada didikan yang diperoleh dari madrasah Ramadan yang lalu iaitu melahirkan modal manusia bertakwa terutama dalam meneliti setiap tindakan yang dizahirkan.

Itu antara intipati perkongsian Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu. Bila bicara tentang takwa, ianya sudah terbina di dalam jiwa umat Islam. Walaupun ketakwaan itu sifatnya maknawi kerana letaknya di dalam hati, namun ia boleh melahirkan tindakan-tindakan yang konstruktif; Nampak di mata  dan mampu dibina. Ia mampu menzahirkan tindakan-tindakan yang dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan diri, keluarga, masyarakat, Negara dan juga umat.

Takwa punya nilai di sisi Allah. Oleh itu, apabila seseorang itu akrab dengan Allah dari segi nilai ketakwaannya, maka ia akan beri kesan yang besar kepada hubungan sesama manusia. Manusia akan berjaya menghadapi musuh zahir dan batin apabila menggabungkan iman dan juga ukhuwwah.

Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 134 mafhumnya “iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”. Menerusi ayat ini Allah memberikan kita kayu ukur ketakwaan, antara tanda orang bertakwa yang dinyatakan secara jelas menerusi ayat tersebut adalah orang yang mampu menahan marahnya.

Imam Bukhari meriwayatkan, Abu Hurairah menceritakan bahawa seorang lelaki datang meminta nasihat daripada Rasulullah SAW, baginda menjawab “Jangan marah”. Lelaki tersebut mengulangi soalannya. Rasulullah SAW menjawab “Jangan marah”. Soalan diulang lagi beberapa kali, lantas baginda mengulang juga jawapan yang sama. Di dalam riwayat Imam Tarmizi, lelaki itu berkata “Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku dan janganlah terlalu banyak, moga aku senang memahaminya”. Lantas baginda menjawab “Jangan marah”. Betapa Rasulullah menekankan tentang mengawal marah kerana daripada marah akan timbul perasaan lain seperti dendam dan hasad dengki yang membawa mudarat yang jauh lebih besar sebagaimana dinyatakan bahawa dendam dan dengki itu boleh menghanguskan amal ibadah kita. Ditamsilkan seumpama api yang bukan hanya membakar orang lain malah lebih cepat membinasakan diri sendiri. Oleh itu, usahlah marah, kawallah ammarah yang ada.

Marah juga dipercayai menjadi punca kepada pelbagai penyakit zahir. Satu kertas kajian yang disediakan oleh penyelidik dari University College London mendapati; lelaki yang mudah meradang dan panas baran besar kemungkinan akan diserang penyakit koronari berbanding mereka yang tidak bersikap demikian. Dan kajian kedua menghasilkan beberapa teori mengenai emosi marah yang diterjemahkan dalam bentuk serangan jantung. Ini disebabkan, golongan yang tidak mampu mengawal marah mengalami kesukaran tidur, kurang mengambil ubat, mempunyai tabiat pemakanan yang tidak sihat, tidak bersenam, dan lebih terdedah kepada ancaman obesiti. Perasaan marah juga akan menyebabkan berlakunya penurunan imunisasi sekaligus menjadikan diri lebih mudah diserang pelbagai penyakit.
Marah juga selalu dikaitkan dengan keganasan. Marah sebagai tanda hilangnya kebahagiaan dan ketenangan. Marah pencetus kepada penceraian, kemurungan malah kemalangan jalan raya juga adakalanya bermula dengan wujudnya perasaan marah. Acapkali kita dengar marah diumpamakan dengan api. Adakah api membawa kepada keburukan semata? Adakah ia tidak diperlukan dalam menjalani kehidupan? Tidakkah hidup perlu diterangi dengan cahaya yang berasal dari api? Bukankah untuk memasak juga perlu kepada api?
Menurut Sheikh Sa’id Hawwa di dalam kitab al-Mustakhlas fi Tazkiyyati al-Anfus, tiada manusia boleh terlepas daripada marah, Rasulullah SAW sendiri  juga pernah marah, bahkan Allah juga turut murka dalam situasi tertentu. Oleh itu, kita mesti memahami bahawa ada marah yang diizinkan oleh Islam dan ada marah yang dilarang. Di sinilah perlunya kepada pertimbangan, sukatan dan kawalan terhadap kemarahan.
Terdapat tiga kategori manusia. Pertama orang yang tercela kerana tiada rasa marah dalam diri. Allah berfirman dalam surah At-Tahriim ayat 9 mafhumnya, Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.” Ayat ini mengajak kita untuk bangun berjihad, tidak dayus terutama apabila berbicara tentang kekejaman terhadap saudara seakidah kita.
Bukanlah yang dikatakan kuat itu dengan hebatnya bergusti, demikian bicara Rasulullah SAW. Sesungguhnya orang yang kuat adalah mereka yang mampu menahan dirinya daripada sifat marah dan tahu mengambil faedah dari kemarahan untuk membina kekuatan.  Siapakah yang dikategorikan sebagai mampu menahan diri dari sifat marah ini? Mereka adalah orang yang marah kerana Allah bukannya marah kerana marah. Itulah perjuangan kita, untuk marah kerana Allah bukannya marah kerana marah yang membawa kepada fitnah. Sewajarnya kita tahu letak duduknya marah. Bak kata Imam as-Syafie "Barangsiapa yang tidak marah ketika dia sepatutnya marah, dia umpama keldai."

Kategori kedua adalah kategori manusia yang melampau dalam marahnya. Ia terjadi ketika mereka marah dengan melanggar pertimbangan akal rasional, melanggar perintah Allah dan melanggar akhlak, adab dan susila ketika melampiaskan marahnya. Dalam isu boikot contohnya, perlu bijak dan berilmu ketika memboikot bukannya dengan emosi, memboikot dengan kekerasan dan menyimpang jauh dari adab kita sebagai umat Islam yang hebat. Diumpamakan jika ingin menghadapi musuh dan menunjukkan marah pada musuh dengan cara terbaik seperti menghadapi anjing yang menyalak, usah berbuat yang sama dengan musuh umpama menyalak kembali padanya kerana ternyata musuh itu bukan guru kita. Banyak lagi cara yang lebih bijak untuk menunjukkan maraknya api kemarahan kita. Elakkan dari merasa bangga dengan kemarahan yang dianggap sebagai kekuatan. Adakalanya perlu memandang kemarahan itu sebagai suatu keabian dan kekurangan.

Oleh itu, ambillah jalan sederhana dalam marah. Marah yang terkawal dan terpimpin; marah yang kena pada tempat dan subjeknya. Jika islam dihina, dipersenda dan hak Allah diperkotak-katikkan; wajib marah. Berbeza situasi jika diri kita dihina, agama menganjurkan kita untuk memaafkan sahaja seperti yang telah termaktub dalam surah Ali-Imran ayat 134 tadi. Selain itu, pilihlah untuk berfikiran rasional walaupun dalam keadaan marah seperti kisah Saidina Ali tidak meneruskan niat membunuh seorang Yahudi hanya kerana dikhuatiri niat membunuh kerana Allah beralih menjadi membunuh kerana marah akibat diludah wajahnya. Perlu bijak menganalisa antara agama dan peribadi dalam melampias marah. Selain marah perlu kena pada tempat dan subjeknya, marah juga perlu kena pada masanya.
Marah mesti diluahkan, orang yang berjaya dalam hidup bukan orang yang tidak marah tetapi orang yang dapat meluahkan marahnya secara konstruktif. Marah usah dipendam khuatir akan wujud dendam. Moga Allah pimpin hati, jiwa, emosi dan pemikiran kita untuk dapat mengawal marah kerana dari situ kita belajar mengawal diri kita. Inilah kejayaan sebenar apabila kita ingin bertempur dengan musuh-musuh Islam. Semoga kita akan ada perjuangan nafas panjang yang berlandaskan hukum Allah berdasarkan syariat. Marahlah kerana Allah.

Norhayati Paradi
Penulis adalah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
13/08/ 2014 / 17 Syawal 1435H